Semakin banyak platform media sosial dan aplikasi permesejan yang menambahkan ciri berbayar ke perkhidmatan masing-masing seperti yang dilakukan oleh Twitter dan Telegram. Kini, Facebook, Instagram dan WhatsApp juga dilihat bergerak arah yang sama dengan sebuah bahagian khusus untuk menguruskannya dibentuk di dalam Meta.
Media The Verge melaporkan Meta telah mengeluarkan satu memo dalaman pada minggu lalu yang memaklumkan para kakitangannya berkenaan perkara ini. Bahagian baharu tersebut yang dinamakan sebagai New Monetisation Experiences akan bertanggungjawab mengenalpasti dan membangunkan ciri-ciri berbayar yang mungkin boleh dimasukkan ke dalam ketiga-tiga produk media sosial berkenaan.
Laporan yang sama juga menyebut pembentukan bahagian baharu ini juga merupakan sebahagian dari usaha mengimbang ketiadaan fungsi penjejakan iklan di dalam iPhone dan iPad yang dilaksanakan oleh Apple.
Ciri-ciri berbayar yang akan diperkenalkan kelak oleh ketiga-tiga platform Meta ini juga dikatakan tidak akan menghalang sebarang iklan dari dipaparkan kepada penggunanya. Menurut Naib Presiden Bahagian Pengewangan Meta John Hegeman menyatakan pihaknya masih lagi komited dalam mengembangkan perniagaan iklannya
Malah, pihaknya juga tiada rancangan untuk memberikan penggunanya membayar untuk menghalang iklan dari dipaparkan. Agak aneh juga perkiraan tersebut kerana pada kebiasaannya, pelan berbayar diperkenalkan untuk membolehkan pengguna mengelak dari menonton iklan seperti yang dilakukan oleh YouTube Premium.
Ciri berbayar yang ada pada Facebook buat masa ini kebanyakannya melibatkan antaran pengguna kepada pengguna. Misalnya untuk pentadbir (admin) sesebuah kumpulan mengenakan bayaran untuk kandungan eksklusif dan penonton membelikan “stars” untuk para penstrim kandungan di platform tersebut. Melalui penubuhan bahagian khas ini, dijangka Meta akan memperluaskan lagi penawaran kandungan berbayar eksklusif kepada penggunanya di masa hadapan.













