Facebook awal hari ini telah mendedahkan pihaknya telah memadam lebih dari 1.5 juta video yang menunjukkan insiden serangan masjid di Christchurch, New Zealand baru-baru ini. Kebanyakan video-video ini dikatakan telah disekat sewaktu sebaik sahaja ianya diproses untuk dimuat naik.

Bukan itu sahaja, pihak Facebook telah membuang pelbagai versi video-video berkenaan termasuk yang tidak menunjukkan paparan keganasan. Menurut jurucakap Facebook New Zealand, Mia Garlick, telah menyatakan tindakan ini diambil bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa serta mematuhi arahan dari kerajaan.

Jurucakap berkenaan turut menyatakan Facebook kini sedang giat memantau dan mengalih keluar kandungan-kandungan yang berkaitan dengan insiden serangan pengganas terbabit di dalam perkhidmatannya.

Sebelum ini, Facebook telah membuang video serangan pengganas terhadap masjid di Christchurch tersebut bersama-sama akaun Facebook dan Instagram pengganas terbabit sebaik sahaja menerima pemakluman dari pihak polis. Sebarang komen dan sokongan terhadap serangan oleh pengganas tersebut juga dialih keluar.

Selain usaha oleh Facebook dan Youtube ini, pihak berkuasa Malaysia melalui Suruhanjaya Komunikasi Multimedia turut menyeru orang ramai supaya tidak berkongsikan video serangan tersebut kerana ia tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Takziah dan doa buat keluarga dan rakan-rakan mangsa yang terkorban. Al-Fatihah.

Sumber imej dari Wall Street Journal

Tinggalkan komentar