Twitter telah bersetuju sekali lagi dengan cadangan pembelian saham syarikat media sosial tersebut oleh Elon Musk pada harga $54.20 (~RM215.89) seunit. Di dalam satu kenyataan, Twitter mengesahkan telah menerima surat rasmi dari Elon Musk yang menyatakan niat tersebut.
Persetujuan tersebut hadir selepas berbulan-bulan drama perundangan antara kedua belah pihak selepas Elon Musk cuba menarik diri dari persetujuan asal membeli Twitter pada nilai $44 billion (~RM204 billion) sekitar pertengahan tahun ini.
Kedua-dua pihak juga telah bersedia untuk membawakan isu ini ke muka pengadilan pada bulan ini apabila Twitter dalam usaha menggesa Elon Musk untuk memuktamadkan perjanjian tersebut.
https://twitter.com/TwitterIR/status/1577380758192197632
Elon Musk mendakwa Twitter telah memperdaya beliau berkenaan jumlah akaun robot di dalam platform tersebut. Beliau juga telah menzahirkan kebimbangan mengenai isu aduan yang difailkan oleh mantan ketua keselamatan syarikat tersebut.
Bagaimanapun Elon Musk sekali lagi pada hari ini telah membuat ‘U-turn’ dengan memberitahu Twitter beliau bersetuju dengan perjanjian asal. Dalam satu surat yang difailkan dengan SEC, peguam Elon Musk menyatakan pihaknya akan meneruskan dengan perjanjian yang dimuktamadkan pada April lalu jika Delaware Chancery Court menangguhkan perbicaraan dan prosiding berkaitan dengan tuntutan yang sedang berjalan.
Tidak dapat dipastikan jika proses pengambil alihan dapat dimuktamadkan kelak. Pemegang-pemegang saham Twitter telah pun mengundi untuk menerima rundingan ini. Pun begitu, kedua-dua belah pihak perlu menunggu keputusan dari Delaware’s Chancery Court.
Elon Musk sebelum ini menyatakan hasratnya untuk menjadikan Twitter hak milik persendirian dan ia bakal membawa perubahan dramatik pada Twitter. Beliau secara terbuka ingin menjadikan algoritma Twitter sebagai sumber terbuka dan mengambil pendekatan yang lebih longgar terhadap pemantauan kandungan di dalamnya.
Menerusi mesejnya kepada Ketua Pegawai Eksekutif Parag Agrawal yang didedahkan kepada umum pada minggu lepas, beliau menyatakan ingin “menarik semula sekatan kekal terhadap pengguna kecuali akaun spam dan pengguna yang menyokong keganasan secara terang-terangan.”













