Sejak awal bulan ini, berita mengenai Elon Musk dan Twitter kerap kali timbul. Pada awalnya, Elon Musk menjadi pemegang saham terbesar sebelum bertindak mengambil keseluruhan pemilikan Twitter. Keputusan ini diterima oleh lembaga pengarah Twitter secara sebulat suara.
Melalui nilai US$44 billion (~RM191.51 billion), Elon Musk akan menjadi pemilik platform media sosial tersebut. Nilai ini bersamaan US$54.20 seperti yang ditawarkan.
Tidak dapat dipastikan bagaimana masa depan Twitter melalui pengambilalihan ini. Elon Musk sebelum ini pernah berkongsikan secara umum mengenai rancangan beliau untuk Twitter dengan antaranya memberikan pengguna butang suntingan pos yang telah dihantar.
Beliau juga sebelum ini merupakan seorang pengkritik tegar platform berkenaan. Bagaimanapun, sesetengah pihak bimbang dengan tahap kawalan komuniti di bawah pemilikan Elon Musk kelak. Antaranya yang mencetuskan kegusaran pengguna adalah mengenai peningkatan aktiviti menghasut berbaur kebencian melampau yang membawa kepada ideologi ekstremisme.
Sungguhpun urusniaga ini telah dipersetujui, namun ia masih lagi belum dimuktamadkan. Dijangkakan proses ini dapat diselesaikan dalam tahun ini juga, bergantung pada kelulusan dari pihak pengawal selia dan juga pemegang saham semasa lain di Twitter. Sebaik sahaja selesai, Twitter akan menjadi syarikat milikan sendirian.













