Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk telah mengarahkan para eksekutifnya untuk menghentikan sementara pengambilan pekerja baharu dan bersiap sedia untuk mengurangkan tenaga kerjanya, menurut sepucuk emel yang tertiris seperti dilaporkan oleh Reuters.
Saham Tesla merosot 8.5% sejurus laporan daripada Reuters berkenaan diterbitkan. Sepucuk emel tambahan yang dihantar pada Jumaat lalu kepada seluruh warga kerjanya menjelaskan dengan lebih lanjut kepada para eksekutifnya. Menurutnya, pengurangan tenaga kerja tersebut melibatkan pekerja-pekerja yang digajikan oleh syarikat tersebut.
Beliau menambah, pengurangan tenaga kerja ini tidak akan melibatkan pekerja-pekerja yang menghasilkan kereta, pek bateri atau solar. Malah, tenaga kerja bahagian berkenaan akan ditambah kelak.
Maklumbalas dari Presiden Biden
Presiden Joe Biden ketika ditanya pada sidang media Jumaat lalu mengenai kebimbangan Elon Musk tentang ekonomi telah memberikan respon bahawa syarikat-syarikat lain seperti Ford, Stellantis dan Intel kini sedang giat meningkatkan pelaburan dan menambah bilangan pekerja.
“While Elon Musk is talking about that, Ford is increasing its investment overwhelming,”
Beliau turut menambah pengeluar kenderaan tersebut kini telah mengambil sejumlah lebih dari 6,000 pekerja berkesatuan di seluruh kilang-kilangnya di Amerika Syarikat.
“Jadi, semoga beliau berjaya dalam perjalanannya ke bulan. Tapi, entahlah.. (So, lots of luck on his trip to the moon, I don’t know.)”
Arahan pembekuan pengambilan oleh Elon Musk ini hadir dalam minggu yang sama selepas dua emel yang memaklumkan penamatan arahan bekerja dari rumah oleh beliau telah tertirs. Beliau turut menjelaskan pekerja-pekerja yang enggan untuk kembali ke pejabat boleh memilih untuk berhenti.
Emel berkenaan disusuli oleh emel yang menyatakan kebimbangannya tentang kemerosotan ekonomi yang akan datang dan meminta para eksekutifnya bersedia untuk mengurangkan tenaga kerja sedia ada di Tesla.
Tesla dan subsidiarinya kini mempunyai tenaga kerja seramai 99,290 orang, menurut laporan tahunannya. Pekerja-pekerja berkenaan meliputi kilang-kilang dan fasilitinya termasuk di ibu pejabatnya di Austin, Buffalo, New York, Sparks, Nevada, Fremont, California, Berlin dan Shanghai. Tesla juga mempunyai pejabatnya di California dan Jerman, serta kedai-kedai jualannya di Eropah, Australia dan Amerika Utara.













