Pengumuman rasmi berkenaan pengambil alihan Twitter oleh Elon Musk masih lagi belum diumumkan setakat ini. Namun, terdapat pelbagai sumber yang memetik perjanjian antara kedua-dua belah pihak telah dimuktamadkan.
Sebelum ini, Elon Musk diberikan tempoh sehingga 28 Oktober ini untuk memuktamadkan pengambilalihan Twitter yang bernilai USD 44 billion. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan beliau berhadapan dengan tindakan mahkamah.
Elon Musk juga mengacah keputusan memuktamadkan perjanjian tersebut di media sosial dengan berkongsikan video yang menunjukkan beliau membawa sinki dapur ke ibu pejabat Twitter di San Francisco. Selain itu, beliau juga menghantar satu ciapan yang menyatakan, “the bird is freed,”
Entering Twitter HQ – let that sink in! pic.twitter.com/D68z4K2wq7
— Elon Musk (@elonmusk) October 26, 2022
Rentetan dari pengambilalihan ini, beliau turut dilaporkan memecat sebilangan pengurusan eksekutif tertinggi Twitter termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Parag Agrawal. Pengurusan eksekutif berkenaan turut menerima pampasan disebabkan pemecatan tersebut dengan Parag Agrawal dilaporkan menerima sebanyak USD 11.7 juta.
Selain dari pemecatan tersebut, Elon Musk juga menyatakan hasrat untuk mengecilkan bilangan pekerjanya. Namun, tidak sehingga 75% tenaga kerja seperti yang diuar-uarkan oleh beliau sebelum ini.
Beliau juga menyatakan hajat untuk membawakan perubahan besar terhadap syarikat media sosial berkenaan. Antaranya melonggarkan peraturan pengawalan, menghapuskan bot-bot spam, selain turut mengenakan bayaran kepada pihak kerajaan dan korporat yang menggunakan Twitter.
Dear Twitter Advertisers pic.twitter.com/GMwHmInPAS
— Elon Musk (@elonmusk) October 27, 2022
Terdahulu, Elon Musk pernah meluahkan pandangannya untuk memanfaatkan pengambilalihan ini untuk memulakan pembangunan sebuah aplikasi super baharu yang buat sementara waktu ini dikenali sebagai “X.” Aplikasi tersebut lebih mirip dengan WeChat yang kini popular di China.













