Menguruskan pemacu (driver) di dalam Windows 10 kadangkala boleh menjadi satu tugas yang sukar. Penggunaan perisian pihak ketiga (third party) adakalanya dapat membantu melicinkan urusan pembaikan komputer.

Secara teknikalnya, memasang (install), menyahpasang (uninstall) atau mengemaskini pemacu (driver) pada Windows 10 boleh dilakukan secara terus dari ‘Device Manager’. Paparan antaramukanya tidak jauh berubah sungguhpun antaramuka Windows sudah mengalami pelbagai perubahan berdasarkan versinya.

Namun, jika anda ingin melihat keseluruhan senarai lengkap pemacu-pemacu (driver) yang dipasangkan pada komputer anda, ‘Device Manager’ tidak akan menunjukkannya dan anda mungkin memerlukan perisian pihak ketiga untuk melihatnya. Hal ini kerana fungsi ‘Device Manager’ adalah membantu anda menguruskan pemacu (driver) secara satu-per-satu. Jadi, bagaimana untuk anda melihat senarai keseluruhan tanpa perlu memasang perisian pihak ketiga (third party).

Caranya adalah dengan menggunakan baris arahan melalui ‘Command Prompt’. Anda boleh membukanya dengan menekan kekunci Windows + R dan kemudian taipkan cmd.exe.

Apabila paparan aplikasi ‘Command Prompt’ dibuka, ikuti baris-baris arahan berikut;

driverquery

Secara teknikalnya, hanya melalui baris arahan di atas, tanpa perlu memasukkan parameter tambahan, anda sudah boleh melihat keseluruhan pemancu-pemacu (driver) di komputer anda.

Anda juga boleh menambah parameter lain di belakangnya seperti output verbose yang menunjukkan maklumat tambahan seperti lokasi fail pemacu (driver) disimpan. Contohnya baris arahan seperti berikut:

driverquery /v

Untuk pemacu bertanda (signed driver), anda boleh mendapatkan lebih banyak maklumat tentangnya dengan memasukkan baris arahan berikut:

driverquery /si

Baris arahan ‘driverquery’ ini juga menyokong pelbagai parameter lain. Anda boleh melihatnya dengan menaipkan baris arahan berikut:

driverquery /?

Walaubagaimanapun, senarai yang dipaparkan melalui ‘Command Prompt’ agak sukar dibaca oleh sesetengah pengguna, terutamanya apabila terdapat ratusan atau ribuan pemacu (pemacu) yang telah dipasangkan pada sesebuah komputer.

System Information

Cara lain yang lebih mudah untuk melihat senarai pemacu (driver) tanpa perlu memasang perisian pihak ketiga adalah dengan menggunakan tool System Information pada Windows 10.

Untuk membukanya, pergi ke kotak carian dan taipkan:

system information

Seterusnya untuk mencari senarai pemacu (driver), ikuti haluan berikut:

System Information > Software Environment > System Drivers

Melalui penggunaan UI, paparan maklumat pemacu (driver) lebih mudah untuk dibaca dengan susunan yang lebih teratur dengan maklumat seperti names, description, drive file, type, start mode, state, dan sebagainya.

Kebanyakan pengguna menggunakan pemacu generik (generic drivers) yang didatangkan bersekali dengan Windows 10. Pada kebiasaannya, pemacu (drivers) ini boleh berfungsi dengan baik tanpa sebarang masalah.

Bagaimanapun, ada masanya sesetengah peranti yang dipasangkan dengan komputer mempunyai masalah pada pemacu generiknya (generic driver) dan pengguna mungkin perlu memuat turun pemacu (driver) lain. Hal ini kerap berlaku pada peranti-peranti aksesori permainan (gaming) dan ada sesetengahnya memerlukan penyelesaian yang agak rumit.

Apabila ini berlaku, alatan ‘Device Manager’ atau ‘msinfo’ mungkin dapat membantu anda melakukan pencarisilapan (troubleshooting) sebagai langkah permulaan pembaikan.

Tinggalkan komentar