Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim semalam telah mengumumkan pentadbirannya akan melakukan penilaian semula terhadap pelan pelaksanaan rangkaian 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB).
Rentetan dari itu, DNB telah memberikan maklumbalas berkenaan perkara tersebut dengan menyatakan kesediaan terhadap penilaian semula oleh pihak kerajaan. Menurut DNB lagi, pihaknya juga bersedia memberikan kerjasama penuh bagi tujuan tersebut.
Berdasarkan laporan dari The Edge Markets, DNB juga menegaskan proses pengeluaran tender untuk pelaksanaan rangkaian 5G dilakukan secara telus. Di dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, pihak DNB menjelaskan proses tender berkenaan diuruskan oleh Ernst & Young Consulting Sdn Bhd, salah satu dari empat firma perakauanan terkemuka dunia.
DNB turut mengharapkan penilaian semula tersebut dapat mengurangkan sebarang keraguan terhadap proses tender tersebut dilakukan. Penilaian semula ini juga diharapkan dapat membolehkan pelaksanaan dan implementasi 5G dapat dilakukan secara menyeluruh demi manfaat rakyat Malaysia secara amnya.
Sejak penubuhannya, pemilikan spektrum tunggal DNB mencetuskan banyak tanda tanya dikalangan pemain-pemain industri kerana dibimbangi akan mewujudkan monopoli di dalam pasaran. Selain itu, isu lain seperti ketelusan dan harga yang tidak berpatutan turut dipersoalkan oleh kebanyakan pihak di dalam industri teknologi komunikasi.













