Buat anda yang ingin mengecaskan kenderaan elektrik (electric vehicle, EV) apabila berada di Putrajaya, kini disediakan lokasi stesen mengecas arus terus (direct current, DC) di Pulse Grande Hotel Putrajaya.

Baru-baru ini DC Handal telah memasang pengecas 47kW di lobi hotel berkenaan dan menawarkan kadar pengecasan DC antara yang paling murah di Malaysia. Terdapat satu unit DC Autel 47kW Maxicharger dengan dua nozel CCS2 pada harga RM1.00 bagi setiap kWj.
Sebagai perbandingan, pengecas-pengecas DC 47kW oleh DC Handal lain di lokasi seperti Bangsar South, Gua Musang dan IOI City Mall berharga RM1.30 per kWj.
Pengguna boleh mengaktifkan dan membayar perkhidmatan pengecasan ini tanpa menggunakan aplikasi dengan menggunakan terminal kad yang menerima pembayaran secara nirsentuh melalui kad kredit, debit dan prabayar. Selain itu, pengguna juga boleh mengaktifkan pengecas tersebut melalui aplikasi ChargeEV dan JomCharge.
Lokasi pengecas EV tersebut terletak di Presint 1 Putrajaya yang secara spesifiknya di atas bukit di tengah-tengah bulatan besar Putrajaya yang juga merupakan bulatan terbesar di dunia. Pulse Grande Hotel dahulu dikenali sebagai Shangri-la Hotel sebelum ia dijenamakan semula pada 2018.













