Jumaat minggu lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pakej ransangan ekonomi bagi menghadapi kesan dari wabak pandemik COID-19. Di dalam pengumuman tersebut, YAB Perdana Menteri turut menyatakan rakyat Malaysia bakal menerima data internet 1GB percuma bermula dari 1 April ini sehingga tempoh PKP tamat.
Lanjutan dari itu, SKMM telah memperincikan pengumuman tersebut melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan. Selaras dengan pakej PRIHATIN yang dilancarkan, semua pengguna pelan pascabayar dan prabayar Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile bakal menerima data internet 1GB percuma pada setiap hari.
Bagaimanapun, data 1GB percuma ini hanya boleh digunakan dari jam 8 malam hingga 6 pagi pada setiap hari.
KENYATAAN MEDIA:
PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI PRIHATIN RAKYAT (PRIHATIN): TIADA GOLONGAN YANG AKAN TERCICIR#COVID19#KKMM#MCMC#Penyiaran#PerintahKawalanPergerakan#PosDanKurier#PRIHATIN#Telekomunikasi pic.twitter.com/1B7AZ7aJ4H
— MCMC (Official) (@SKMM_MCMC) March 29, 2020
Selain dari empat penyedia telekomunikasi yang dinyatakan tadi, syarikat-syarikat telekomunikasi lain turut sama menyumbang kemudahan kepada para pelanggannya sepanjang tempoh PKP berjalan. Yoodoo misalnya, turut menawarkan data percuma 1GB setiap hari sepanjang tempoh PKP. Namun, apa yang membezakannya adalah data percuma berkenaan boleh digunakan pada bila-bila masa sepanjang hari.
TM pula menawarkan pengguna pelan pascabayar Unifi Mobile pas hotspot LTE percuma sebanyak 999GB sepanjang tempoh PKP. Manakala TIME menyediakan rebat bil sebanyak RM240 dan panggilan suara tempatan percuma untuk pelan jalur lebar rumahnya. Tidak ketinggalan, YES 4G menawarkan akses pembelajaran dalam talian percuma melalui FrogAsia dan data percuma 40GB kepada pelanggan-pelanggannya.
Melalui tawaran-tawaran yang disediakan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi ini kepada pelanggan masing-masing diharapkan sedikit sebanyak dapat mempermudahkan rakyat Malaysia melaksanakan PKP.













