Menjelang akhir tahun ini, Malaysia berdepan dengan satu lagi insiden kebocoran data. Kali ini melibatkan pangkalan data 13 juta pengguna dari Malaysia yang dijual menerusi satu forum dalam talian. Menurut penjual data tersebut, rekod 13 juta pengguna tersebut datangnya dari Astro, Maybank dan SPR.
Berkemungkinan besar penjual tersebut bukan dari kalangan warganegara Malaysia kerana “SPR” dan “Astro” dilabelkannya sebagai “bank”. Dari pecahan data-data tersebut, 3.5 juta rekod dikatakan dari “Astro”, 1.8 juta lagi dari “Maybank” dan selebihnya 7.2 juta rekod dari “SPR”.
Berdasarkan sampel data tersebut, senarai yang kononnya dari “Astro” tersebut mengandungi nama penuh pelanggan, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan alamat penuh. Manakala untuk senarai “Maybank” pula, ia mengandungi nama, angka 12-digit yang tidak dinamakan, nombor telefon dan juga alamat. Senarai “SPR” yang mempunyai rekod paling banyak mempunyai nombor kad pengenalan baharu dan lama, nama penuh, jantina, alamat dan nombor telefon.
Sungguhpun data tersebut tidak mendedahkan sebarang maklumat berkaitan kewangan seperti nombor kad, nama pengguna dan kata laluan, data peribadi tersebut boleh disalahgunakan bagi tujuan kegiatan penipuan.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil telah mengarahkan Cybersecurity Malaysia dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi menyiasat insiden kebocoran data tersebut dan mengambil langkah yang sewajarnya mengikut undang-undang. Selain membendung kegiatan penipuan (scam), melindungi data peribadi pengguna dan membanteras kebocoran data juga merupakan antara keutamaan yang dijanjikan beliau.
Ini satu dakwaan yang serius, melibatkan jumlah data yang banyak.
Saya akan minta CyberSecurity Malaysia, JPDP siasat apakah benar berlaku kebocoran data melibatkan pihak-pihak berkenaan, serta mengambil tindakan berdasarkan undang-undang. https://t.co/ZvaTJajVje
— Fahmi Fadzil 🇲🇾 (@fahmi_fadzil) December 30, 2022
Ini bukanlah kali pertama maklumat peribadi melibatkan pengguna di Malaysia dijual secara besar-besaran. Awal tahun ini, pangkalan data yang dikatakan dari JPN yang mengandungi 22.5 juta rekod pernah dilaporkan dijual secara dalam talian.













