CYBERJAYA, 9 September 2023 – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada hari ini menyatakan Malaysia perlu menumpukan kepada penyelesaian inovatif yang lestari. Ia dilakukan dalam usaha membangunkan dan memasarkan penyelesaian inovasi tempatan.
Pemain industri juga perlu mencari penyelesaian inovatif dengan kos efektif, sekali gus mengangkat martabat Malaysia menjadi negara yang inovatif, maju dan lestari, tambah beliau lagi.
Di dalam ucapan beliau ketika majlis penutup InnoEx 2023 di sini hari ini yang dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi YB Chang Lih Kang, Perdana Menteri turut menyenaraikan syarikat-syarikat utama yang telah memilih Cyberjaya sebagai destinasi pelaburan.
Antaranya syarikat multinasional tempatan Aerodyne Technologies, penyedia penyelesaian dron nombor satu dunia yang menawarkan solusi automasi dalam pertanian dan pemantauan.
Destinasi pelaburan teknologi Global
Perdana Menteri juga menyatakan Hematogenix, syarikat dari Amerika Syarikat telah memilih Cyberjaya bagi mewujudkan Pusat Makmat Onkologi miliknya untuyk seluruh rantau Asia Pasifik.
Tesla juga telah memilih Cyberjaya sebagai ibu pejabat serantaunya dan menurut konsultan hartanah global Knight Frank, Cyberjaya merupakan destinasi peneraju di Asia Tenggara untuk pelaburan pusat data sedunia.
Cyberjaya juga menjadi tumpuan utama untuk animasi tempatan dan peminat kreatif digital seperti syarikat Monsta Studios, Wau Animation, dan Durioo+.
Turut dinyatakan di dalam ucapan Perdana Menteri itu tadi, Cyberjaya kini mempunyai seramai kira-kira 146,000 penduduk dengan lebih kurang 40,000 daripadanya merupakan tenaga kerja di lebih 400 buah syarikat berstatus Malaysia Digital. Buat masa ini, Cyberjaya telah membentuk lebih 400 buah syarikat rintis seperti Campfyre, Laundrydone, Beebotic, ERTH, dan Kumpool.
“Beberapa syarikat pemula kini meneroka pasaran global dan diiktiraf melalui pelbagai anugerah dan pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa,” kata beliau dan menamakan Monsta Studios, Wau Animation, BillPlz, Supagene, dan IX Telecom sebagai antara syarikat itu.
“Saya amat berbangga dengan kejayaan anak-anak tempatan kita yang telah sekian lama bertapak dan mengusahakan pembangunan aplikasi, harta intelek digital, solusi teknologi dan pelbagai produk dan perkhidmatan berteraskan inovasi,” katanya.
Anwar berkata, Cyberview, yang menerajui pembangunan Cyberjaya dan merupakan pemaju hub teknologi, telah memainkan peranan dalam menyokong pertumbuhan syarikat-syarikat pemula melalui pemberian galakan khususnya di bawah program Cyberview Living Lab Accelerator Programme (CLLA).
“CCLA telah lama dan terawal dalam menawarkan khidmat, bimbingan dan akses dan setakat ini berjaya menyuntik RM6 juta bagi membimbing lebih 90 syarikat pemula sejak ditubuhkan,” kata beliau. Difahamkan 70 peratus daripada jumlah syarikat itu masih aktif.
Secara kolektif, katanya syarikat bimbingan CLLA telah menarik lebih RM256 juta nilai pelaburan yang secara langsung juga telah memberi impak kepada ekonomi dengan mewujudkan lebih 1,400 pekerjaan. – Bernama
Gambar hiasan dari Cyberview













