Parlimen Malaysia pada hari ini telah meluluskan rang undang-undang percukaian yang membolehkan pihak kerajaan mengutip cukai dari penyedia perkhidmatan digital dari luar negara seperti Netflix, Spotify dan sebagainya bermula 1 Januari 2020 nanti.

Cukai berkenaan pada awalnya diumumkan sewaktu pembentangan Belanjawan 2019 tahun lalu tanpa mengumumkan kadar cukai yang bakal dikenakan.

Di bawah Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2019, penyedia-penyedia perkhidmatan digital asing ini bakal dikenakan cukai sebanyak 6 peratus bermula 1 Januari 2020.

Menurut laporan dari Astro Awani, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah menyatakan tujuan cukai ini diperkenalkan adalah bagi memastikan satu ekosistem yang seimbang dapat diwujudkan.

“Sebenarnya kita nak sediakan level playing field. Adalah tidak adil bagi penyedia perkhidmatan dalam negara dikenakan cukai ini, tetapi mereka di luar negara terlepas daripada pembayaran cukai ini.

“Ini bukan cukai baharu tapi kita luaskan skop kepada penyedia perkhidmatan ini yang berada di luar negara yang menyediakan perkhidmatan ini,” katanya menggulung perbahasan tersebut.

Menurut beliau, perkhidmatan digital merangkumi mana-mana perkhidmatan yang diberikan melalui internet atau rangkaian elektronik yang serupa, yang mana tidak boleh diperolehi tanpa penggunaan teknologi maklumat.

“Contoh perkhidmatan digital adalah seperti langganan muzik dan video atas talian, langganan e-book, penggunaan platform e-marketplace, langganan sistem storan berasaskan perkomputeran awan (cloud computing) serta pembelian perisian komputer secara atas talian.

“Pengguna Malaysia ditentukan berdasarkan kaedah pembayaran, alamat Internet Protocol (IP) atau nombor peranti mudah alih yang digunakan semasa pembelian/langganan perkhidmatan digital serta sama ada pengguna tersebut menetap di Malaysia,” jelasnya.

Tidak pasti apakah respon yang akan diberikan oleh penyedia-penyedia perkhidmatan digital asing ini seperti Netflix, Spotify, Steam, dan lain-lain mengenai cukai ini. Sebagai pengguna, tentunya mengharapkan pengenalan cukai ini tidak akan membebankan pengguna terutamanya dari segi yuran langganannya kelak.

Sumber berita diperoleh dari Astro Awani dan Malay Mail

Tinggalkan komentar