Hampir setahun setengah kita tidak mendengar khabar berita mengenai judul permainan strategi terbaik keluaran Westwood Studio, Command & Conquer: Tiberian Dawn dan Command & Conquer: Red Alert. Kini dilaporkan kedua-dua judul remastered ini sudah hampir siap dan bakal dilancarkan pada bulan Jun tahun ini.

Tugasan melakukan remaster dua judul ini telah dipertanggungjawabkan ke Petroglyph Games, sebuah studio permainan video yang dibentuk oleh beberapa pembangun asal dari Westwood Studios. Apa yang menarik, portal Aksiz melaporkan studio berpangkalan di Malaysia, Lemon Sky Studios turut memberi sumbangan dalam pembangunan yang dijalankan oleh Petroglyph Games.

Koleksi Command & Conquered Remastered dijadualkan mula dijual pada 6 Jun 2020. Permainan ini boleh diperolehi pada PC melalui Steam dan platform EA Origin. Harga jualannya kelak bergantung dengan platform mana ianya dijual. Melalui Steam, harga jualannya adalah pada RM79. Tetapi, melalui Origin, harga yang ditetapkan adalah pada US$26.90 (~RM113) untuk edisi Standard, US$59.99 (~RM254) untuk edisi khas, dan US$149.99 (~RM636) untuk edisi ulang tahun ke-25.

Edisi ulang tahun ke-25 Command & Conquer Remastered turut menawarkan beberapa kelebihan buat pembelinya melalui bentuk digital dan juga fizikal. Antaranya pemacu USB 16GB yang berbentuk seperti kristal Tiberium yang turut mengandungi kandungan koleksi remaster permainan tersebut, bersama-sama runut bunyi asli permainan serta pelbagai lagi.

Sumber berita diperoleh dari Steam, EA

Tinggalkan komentar