CIMB Group Holdings telah melancarkan aplikasi terbaru yang mampu menjadikan telefon pintar Android berkeupayaan NFC sebagai sebuah terminal penerima pembayaran. Dikenali sebagai CIMB Tap n Pay, aplikasi ini boleh dikatakan sebagai alternatif kepada terminal konvensional point-of-sale (POS).
Aplikasi ini hanya memerlukan sambungan internet mudah alih untuk berfungsi. Apa yang pengguna perlu lakukan hanyalah dengan menyentuhkan kad pembayaran ke telefon pintar yang dipasangkan aplikasi berkenaan.
Dilancarkan dengan usahasama Payments Network Malaysia (PayNet), aplikasi ini mampu memproses transaksi di bawah amaun RM250 sahaja buat masa ini. Penambahbaikan untuk pembayaran melebihi RM250 disasarkan mampu dicapai pada tahun 2020 bersama-sama sokongan pembayaran kad kredit dan transaksi berasaskan kod QR.
Pengenalan aplikasi ini dijangka mampu memperluaskan lagi pilihan pembayaran nirtunai, disamping dapat dimanfaatkan oleh peniaga-peniaga kecil termasuk peniaga di pasar malam.
CIMB mensasarkan 20,000 peniaga akan memuat turun aplikasi CIMB Tap n Pay ini pada tahun hadapan.
Sumber berita diperoleh dari The Edge Markets













