CIMB telah mengumumkan pelaksanaan kaedah keselamatan baharu untuk aplikasi CIMB Clicks dengan hanya membenarkan satu peranti yang didaftarkan sahaja untuk tujuan pengesahan.
Perubahan ini selaras dengan arahan dari Bank Negara Malaysia (BNM) pada bulan lepas. Pihak bank perlu beralih dari menggunakan kata laluan sekali (one-time password, OTP) ke arah kaedah pengesahan yang lebih selamat bagi mengatasi masalah penipuan kewangan.
Pelaksanaan sistem baharu ini akan mula berkuatkuasa menjelang penghujung Oktober 2022, menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh CIMB. Sebaik dimuktamadkan, kesemua pengguna baharu dan sedia ada yang memuat turun atau memasang semula CIMB Clicks hanya dibenarkan mendaftar satu peranti sahaja untuk kegunaan aplikasi dan menggunakan pengesahan SecureTAC untuk membuat transaksi.
Pihak CIMB juga memberitahu pelaksanaan migrasi ke peranti tunggal ini dapat diselesaikan menjelang Mac 2023. Kaedah keselamatan baharu ini dilaksanakan secara berperingkat bagi memberikan pengguna lebih masa untuk menyesuaikan diri. Sebaik sahaja proses migrasi kaedah ini selesai dilaksanakan, kesemua peranti-peranti lain yang bukan utama dan tidak didaftarkan di dalam aplikasi CIMB Clicks akan dinyahaktifkan.
Cara membuang peranti-peranti lain tidak berkenaan dari senarai di dalam aplikasi CIMB Clicks
CIMB menggesa kesemua pengguna untuk lebih proaktif membuat semakan tetapan aplikasi dan membuang senarai daftar peranti-peranti yang tidak berkaitan dalam aplikasi bagi melancarkan urusan. Untuk melakukannya, anda boleh melakukan langkah-langkah seperti berikut:
- Log masuk aplikasi CIMB Clicks menggunakan peranti utama anda
- Pergi ke bahagian Other Registered Device di dalam halaman Settings
- Sapu ke kiri (swipe left) pada nama atau model peranti yang anda ingin buang dari senarai
- Ketik pada butang Delete
- Satu notifikasi SMS akan mengesahkan pemadam tersebut selepas anda selsai memadam kepada anda
Selain dari kaedah pengesahan baharu ini, CIMB juga menyatakan pihaknya akan terus proaktif melaksanakan penambahbaikan ciri keselamatan sebagai salah satu usaha memelihara pelanggannya dari kegiatan penipuan. Perincian mengenai pelaksanaan kaedah ini masih lagi belum diumumkan dan dijangka akan hadir sekitar bulan depan.













