Seorang pegawai Microsoft terpaksa menangguhkan sesi demonstrasi secara langsung yang dilakukannya untuk memasang Google Chrome. Hal ini disebabkan pelayar yang digunakannya, Microsoft Edge kerap kali tergendala hingga mengganggu sesi pembentangan beliau.
Insiden yang mungkin mendatangkan malu buat pihak Microsoft berlaku sewaktu sesi pembentangan Azure dan video tersebut dirakamkan dan telah pun dimuat naik ke Youtube – oleh Microsoft sendiri. Pelik juga dengan perangai Microsoft ni.
Pembentangan berkenaan bertujuan memperkenalkan kepada pengguna bagaimana untuk melakukan migrasi data dari aplikasi ke perkhidmatan awanan yang disediakan oleh pihak Microsoft – Azure. Namun, sewaktu sesi sedang rancak dijalankan, Microsoft Edge tergendala.
Anda boleh menonton video berkenaan di bawah (langkau ke minit ke 37:10 untuk lihat insiden Edge tergendala).
Pun begitu, pegawai yang diceritakan ini masih lagi mampu mengawal keadaan dan sempat lagi melawak dengan insiden-insiden yang tidak disengajakan ini. Lagipun, membuat pembentangan secara langsung bukanlah perkara yang mudah dan sebarang cacat cela sewaktu sesi berjalan mampu menambah gugup mana-mana pembentang.
-Sumber maklumat diperoleh dari Youtube Microsoft Ignite













