OpenSignal pada hari ini telah menerbitkan laporan terkini Mobile Network Experience di Malaysia. Laporan edisi September 2019 ini adalah berdasarkan data-data yang dikumpulkan sepanjang 1 Jun 2019 hingga 29 Ogos 2019 dari lebih 970,000 peranti.
Hampir sama dengan edisi sebelumnya iaitu April 2019, laporan kali ini sekali lagi menyenarai Celcom dan Maxis sebagai penyedia rangkaian terunggul berdasarkan segmen-segmen yang diambil kira oleh OpenSignal.
Sedikit perubahan berlaku pada segmen kadar latensi dan kelajuan tontonan video yang kini kedudukannya dipintas oleh Celcom dari Maxis. Untuk ketersediaan rangkaian 4G pula, bagaimanapun ia kini masih lagi dikuasai oleh Celcom. Maxis pula kini mengungguli sebagai peneraju kelajuan memuat naik melalui rangkaiannya.
Terdapat segmen terbaru yang diperkenalkan untuk edisi laporan kali ini iaitu Voice App; dan ianya diungguli oleh Unifi Mobile. Pertama kali diperkenalkan di dalam laporan ini, segmen ini menilai sejauh mana keberkesanan dan kualiti penyampaian sewaktu menggunakan fungsi panggilan suara di dalam aplikasi seperti WhatsApp, Skype dan lain-lain.
Untuk maklumat lanjut mengenai laporan ini, anda boleh merujuk ke laman rasmi OpenSignal.













