Casio telah mengumumkan kolaborasi dengan dua anime/manga utama dunia tidak lama selepas memperkenalkan jam tangan bertemakan Evangelion.

Kali ini, pengeluar jam tangan dari Jepun ini bakal melancarkan jam tangan edisi terhad Dragon Ball Z x G-Shock GA-110JDB dan One Piece x G-Shock GA-110JOP bulan hadapan.

Dragon Ball Z x G-Shock GA-110JDB-1A4 akan hadir dengan skim warna jingga dan hitam yang menampilkan ilustrasi watak utamanya, Son Goku pada talinya. Muka jamnya pula memaparkan motif bertemakan siri manga/anime ini seperti Mutiara Naga berbintang empat dan logo huruf ‘Z”. Pada bahagian keluli tahan karat dibelakangnya juga terdapat kemasan ukiran logo Dragon Ball Z.

Manakala untuk jam tangan One Piece x G-Shock GA110JOP pula, ia menampilkan rekaan bercorak merah, putih dan hitam bersama-sama ilustrasi watak utamanya, Monkey D Luffy pada talinya. Topi jerami ikonik Luffy dan perkataan “WANTED” tertera pada muka jam model ini. Hampir sama dengan versi Dragon Ball Z, jam tangan edisi terhad ini juga diukir dengan perkataan “G-Shock x One Piece” di belakangnya.

Jam tangan G-Shock edisi terhad Dragon Ball Z dan One Piece bakal menemui pengguna Julai ini untuk pasaran Jepun, Asia dan Eropah. Laman web rasmi G-Shock menyenaraikan kedua-dua jam tangan ini berharga JPY26,400 (~RM1,052). Tarikh kemasukannya ke pasaran Malaysia masih lagi belum diketahui.

Tinggalkan komentar