Canon, pengeluar kamera dan pencetak popular, dilaporkan berdepan dengan tindakan saman dari penggunanya. Tindakan tersebut diambil berikutan dakwaan dengan sengaja mematikan fungsi mengimbas dokumen apabila pencetak All-in-One keluarannya kehabisan dakwat.
David Leacraft bersama-sama lebih dari 100 pengguna ingin menyaman Canon USA sebanyak US$5 million (~RM20.8 million). Menurut mereka, Canon dengan sengaja melakukan pemasaran yang tidak telus.
Menurut pemfailan saman tersebut, David Leacraft mendapati pencetak Pixma MG6320 milik beliau tidak boleh mengimbas atau menghantar faksimili setiap kali ia kehabisan dakwat. Lebih membingungkan beliau, fungsi-fungsi berkenaan sepatutnya tidak memerlukan sebarang penggunaan dakwat.
Beliau turut mengadu bahawa beliau sama sekali tidak akan membeli pencetak berkenaan jika mengetahui ia memerlukan dakwat untuk menggunakan fungsi mengimbas.
Turut disertakan bukti di dalam pemfailan berkenaan, kenyataan oleh seorang ejen sokongan di dalam forum Canon:
“The PIXMA MX710 must have all ink tanks installed and they all must contain ink. If you attempt to print with no ink or an empty ink, you would risk damaging the printer.”
BleepingComputer juga mendapati maklumbalas dari Canon pada forum terbabit menjelaskan kesemua tangki dakwat perlu mengandungi dakwat, termasuk tangki warna untuk pencetak boleh mencetak waima cetakan hitam putih.
Aduan tersebut juga menyertakan imej kotak pencetak Pixma MG2522. Padanya menunjukkan pencetak All-in-One berkenaan menyertakan tiga fungsi iaitu mencetak, menyalin dan mengimbas.
Pemfailan saman tersebut juga mendakwa Canon telah memperdaya pengguna membeli katrij dakwat dengan sengaja mewujudkan cerutan (bottlneck) untuk meningkatkan keuntungan.
Oleh kerana dakwat pencetak luput selepas beberapa tahun, pengguna yang jarang mencetak terpaksa mengisi semula dakwat demi memastikan fungsi mengimbas dan menghantar faks boleh digunakan.
Terdapat 21 model pencetak Canon yang disenaraikan di dalam pemfailan saman tersebut termasuk model-model All-in-One. Pemfailan ini masih lagi diperingkat awal dan keputusan darinya dijangka bakal mengubah cara kita menggunakan sesebuah peranti yang dibeli.













