Pihak kerajaan baru-baru ini telah mengumumkan caj RM1 yang dikenakan untuk pengeluaran tunai antara-bank di seluruh mesin mengeluar automatik (Automated Teller Machines, ATM) yang bersambungan dengan rangkaian Malaysian Electronic Payment System (MEPS) akan dikecualikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Keputusan ini telah diumumkan oleh Menteri Kanan Dato’ Sri Ismail Sabri dalam kenyataan yang disampaikan petang tadi. Pengecualian bayaran untuk pengeluaran tunai di ATM ini akan mula dilaksanakan pada Isnin, 6 April 2020.

Sebelum pengumuman ini, beberapa bank seperti Maybank dan OCBC Malaysia telah pun mengumumkan pengecualian caj untuk pengeluaran tunai antara-bank.

“Langkah ini akan memberikan ruang dan kemudahan kepada rakyat supaya menggunakan ATM yang disediakan (di bank terdekat).

“Dalam masa yang sama saya menasihatkan orang ramai supaya tidak berpusu-pusu di ATM pula.  Jarak sosial mesti dipatuhi iaitu satu meter,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri Mengenai PKP di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata orang ramai juga digalakkan menggunakan khidmat perbankan dalam talian.

Tinggalkan komentar