Penggunaan Whatsapp sebagai medium komunikasi di antara pekerja dan bos adalah sesuatu yang lumrah hari ini. Manfaat dari penggunaan teknologi ini adalah segala maklumat dan arahan dapat disampaikan dengan lebih tuntas.
Namun, jika penggunaannya secara berlebihan ianya boleh membawa kepada malapetaka dalam kehidupan seseorang. Mesej Whatsapp dari bos kepada pekerja di luar waktu bekerja adalah salah satunya.
Kalau takat mesej ucap selamat atau jemput datang kenduri tahlil tu kira OK la kan. Ini adalah mesej Whatsapp berkenaan hal kerja yang dihantar di luar waktu pejabat. Sekali-sekala pekerja mungkin boleh terima dan faham sebab urgent. Tapi bila dah kerap, dah jadi macam tabiat pulak si bos ni suka hantar Whatsapp malam-malam bincang hal kerja. Ini memang mendatangkan kemarahan kaum pekerja.
Bak kata pakar-pakar motivasi, “Hal pejabat jangan di bawa balik ke rumah,”
Namun, realitinya hari ini lebih ramai pekerja-pekerja yang kerjanya ikut sama-sama balik rumah. Sesetengah pekerja tidak ada pilihan dek disebabkan bimbang dikenakan tindakan tatatertib atau berdepan tindakan dibuang kerja. Jadinya, mahu atau tidak mahu, kerja akan datang mengekori pekerja berkenaan dalam bentuk aplikasi Whatsapp dan emel.
Menurut Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia MTUC, Abdul Halim Mansor, apabila urusan kerja masih berlaku menerusi aplikasi WhatsApps selepas waktu pejabat, ia merupakan satu tekanan kepada pekerja serta aplikasi itu tidak sesuai digunakan untuk urusan rasmi pejabat.
Sekiranya pihak majikan benar-benar memerlukan pekerjanya untuk bekerja pihak syarikat perlu menghubungi pekerja tersebut melalui telefon atau menjemputnya di tempatnya. Apa jua aplikasi media sosial tidak boleh dianggap sebagai medium rasmi biarpun memudahkan penyampaian pesanan,” jelasnya.
Di Malaysia, terdapat peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 60A (1) Akta Kerja 1995, seseorang itu tidak boleh diarahkan bekerja lebih 5 jam berterusan tanpa rehat dan tidak melebihi 8 jam sehari atau 48 jam seminggu, jika pekerja bekerja melebihi tempoh tersebut, mereka berhak menuntut bayaran lebih masa tapi itu hanya terpakai di pejabat dan urusan kerja secara fizikal.
Peruntukan undang-undang terbabit tidak bermakna pekerja tidak dibenarkan membuat kerja selepas waktu pejabat. Ianya bergantung dengan budi bicara di antara pekerja dan bos masing-masing dalam menguruskan waktu.
Pengurusan waktu dalam organisasi
Dikalangan majikan dan pengurusan peringkat tertinggi juga perlu memainkan peranan dalam menguruskan kerja dengan merancang lebih awal dan tidak buat perangai ‘kerja last minute’. Nanti bila orang bawahan mengikut jugak buat kerja last minute tau pulak mengamuk.
Ramai di kalangan pekerja sekarang ini yang tidak tahu bila waktu kerjanya ‘bermula dan berakhir’ memandangkan kehidupan kita hari ini yang tidak lekang dengan telefon pintar masing-masing di tangan.
Majikan atau bos yang kerapkali menghubungi pekerja-pekerja menerusi Whatsapp selepas waktu pejabat boleh menyebabkan pekerja menjadi stress dan menganggu masa berkualiti bersama keluarga.
Selain Malaysia, beberapa negara di hemisfera Barat seperti Itali, Jerman, dan Perancis turut menguatkuasakan larangan majikan menghubungi pekerja selepas waktu kerja untuk urusan kerja. Sesetengah syarikat-syarikat di Jerman, seperti Volkswagen misalnya, melaksanakan penutupan secara automatik pelayan-pelayan emel syarikat dari jam 6 petang hingga 7 pagi pada setiap hari.
Terdapat kajian yang mendapati pekerja-pekerja yang tidak mengendahkan mesej-mesej dari bos selepas waktu bekerja mampu melakukan tugas dengan lebih baik pada keesokan hari bekerjanya. Hal ini tentunya dapat memanfaatkan kedua-dua belah pihak.
Secara keseluruhannya, keseimbangan di antara kerja dan kehidupan ini memerlukan kerjasama dan persefahaman yang lebih baik di antara pekerja dan majikan. Tambahan pula, elemen saling mempercayai di antara satu sama lain dapat melicinkan dan mempermudahkan segala urusan kerja.













