Bukan sesuatu yang aneh bagi mereka yang mengikuti perkembangan BlackBerry sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Hasil jualan peranti dari syarikat ini telah merudum dan ia merupakan salah satu sebab mengapa BlackBerry akan hadir dengan telefon pintar Android yang dikenali sebagai Priv.
Selain dari itu, CEO BlackBerry John Chen secara terbuka menyatakan bahawa BlackBerry mungkin tidak dapat bertahan lama dalam perniagaan telefon bimbit. Beliau menyampaikan kenyataan berkenaan pada persidangan Code Mobile yang berlangsung semalam.
Apabila diajukan pertanyaan berkenaan masa depan bahagian peranti syarikat berkenaan, beliau menjawab, “Sometime next year we have to make our device business profitable, otherwise I have to rethink what I do there (Dalam tempoh tahun depan kami perlu jadikan perniagaan peranti lebih menguntungkan, kalau tidak saya kena fikirkan apa yang perlu dilakukan terhadapnya).”
Mungkin dengan ketiadaan bahagian peranti mudah alih di dalam syarikat teknologi ini, BlackBerry dapat menumpukan perhatian terhadap BlackBerry Enterprise yang menawarkan perkhidmatan keselamatan digital di dalam industri. Terdahulu, BlackBerry telah pun membawakan tambahan sokongan keselamatan untuk peranti-peranti iOS dan Android.
Selain dari menumpukan kembali kepada perniagaan teras BlackBerry yang berteraskan kepada sekuriti, syarikat teknologi masih lagi enggan mengaku kalah dengan memperkenalkan BlackBerry Priv yang dikuasakan oleh sistem operasi Android.
Ciri unik BlackBerry Priv berbanding telefon-telefon pintar Android lain yang ada di pasaran hari ini adalah papan kekunci fizikalnya selain dari kepenggunaan yang lebih mementingkan privasi para penggunanya.
Sumber berita diperoleh dari Ars Technica














Bro, maksud ceo tu, dia perlu menjadikan bisnes dia tu menguntungkan, kalau tidak, dia perlu fikir semula apalah peranan sebenar dia sbg ceo blackberry tu. Huhu… ragam bisnes yg banyak saingan sengit, mcm tulah…
Senang cakap, dia perlu bermuhasabah diri sebelum fikir nak teruskan bisnes smartphone Blackberry tu.. Hehe. Telefon sekarang ni dah terlampau banyak sangat pilihan.