Masuk hari ini, sudah 3 hari hujan turun tidak henti-henti. Seolah-olah tiada penghujung. Sesetengah kawasan di daerah Kluang ini sudah ditenggalami air, terutama bagi penduduk yang tinggal berhampiran dengan Sungai Mengkibol, mereka sudah dipindahkan ke kawasan-kawasan penempatan sementara yang berhampiran.
Aku menghabiskan cuti hujung minggu aku di Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan isteri tersayang. Pada malam semalam ketika aku kembali ke Kluang, Sungai Mengkibol yang begitu hampir dengan Stesen Bas Kluang sudah hampir melimpah. Perkhidmatan teksi di stesen sudah tidak kelihatan lagi walaupun malam masih muda. Aku terkontang-kanting di stesen bas. Takkan pula aku akan bermalam di stesen bas. Esok hari aku bekerja. Ah, terpaksa la aku menyusahkan member aku lagi untuk mengambil aku dari stesen bas.
Pagi tadi hujan masih lagi tidak reda. Aku bergerak ke tempat kerja dari rumah member aku. Motor aku memang aku selalu tumpang parking di situ. Sepanjang perjalanan dari Kluang menuju ke tempat kerja aku di Paloh, hujan masih lagi lebat. Jika lemah iman, mahu sahaja aku mohon sijil cuti sakit dan menyambung kembali lena tidurku.














