Sepanjang tahun 2019 ini, Asus dilihat kurang mengeluarkan telefon pintar model terbarunya berbanding tahun lepas. Setakat tahun ini, syarikat elektronik berpangkalan di Taiwan ini hanya mengeluarkan ZenFone 6 dan yang terbaru, ROG Phone II.
Sungguhpun telefon pintar terbaru dari Asus ini luarannya kelihatan sama seperti keluarannya yang terdahulu, ia dibezakan dengan antaranya paparan HD+ Penuh AMOLED 6.59-inci. Paparan ini juga menawarkan kadar penyegaran semula 120Hz bersama-sama kadar pensampelan sentuhan 240Hz dan kejituan warna Delta E ≦1. Tidak ketinggalan sokongan HDR dan penderia cap jari terbina dalam paparan.
Dilengkapkan dengan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 855 Plus dan RAM 12GB LPDDR4X sebagai standard, ROG Phone II boleh didapati dengan pilihan storan dalaman sehingga 512GB UFS3.0.
Bagi tujuan penyejukannya, telefon pintar ini turut dilengkapkan dengan sistem penyejukannya yang tersendiri melalui gabungan sirip penyejuk dan ruang pengewapan 3D yang mengalirkan haba keluar ke bahagian belakangnya. Turut disediakan kipas penyejukan boleh tanggal AeroActive Cooler II bagi meningkatkan lagi mutu penyejukannya.
Sama seperti modelnya yang terdahulu, ROG Phone II masih lagi dilengkapkan dengan set ‘butang bahu’ berasaskan sentuhan yang dinamakan sebagai AirTrigger. Bagaimanapun, Asus menambahbaik dengan menawarkan sokongan tempat merehatkan jari dan gerak isyarat gelongsor selain ciri dwi-getaran bagi memberikan kesan penggunaan seperti butang fizikal.
Untuk kamera, ROG Phone II hadir dengan kamera utama 48MP Sony IMX586 bersama-sama lensa bersudut ultra luas 13MP. Bagi kamera swafotonya pula, telefon pintar ini menawarkan sebuah lensa 24MP. Melengkapkan spesifikasinnya, telefon pintar ini hadir dengan bateri berkapasiti 6,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas Quick Charge 4.0 dan kadar output maksima 30W.
Setakat ini, pihak Asus masih lagi belum mengumumkan tarikh pelancaran dan juga harganya sungguhpun bakal melancarkan Asus ROG Phone di China dalam minggu ini.
Sumber berita diperoleh dari Ars Technica













