Antara rungutan yang paling kerap diutarakan oleh pengguna Astro adalah masalah gangguan siaran yang disebabkan oleh cuaca hujan. Selain itu, baru-baru ini pengguna Astro juga menghadapi gangguan siaran yang berpunca dari masalah yang dihadapi oleh satelit MEASAT-3.

Bagi mengurangkan gangguan tontonan pengguna, Astro telah menerbitkan kemaskini baharu yang membolehkan pengguna terus menonton walaupun ketika tiada isyarat dari satelit.

Menurut Astro, Ultra Box baharu telah dinaik taraf dengan fungsi Continuous Viewing yang membolehkan anda beralih dari siaran TV satelit kepada penstriman internet.

Untuk membolehkan fungsi ini diaktifkan, pengguna perlu menyambungkan Ultra Box ke rangkaian WiFi kediaman masing-masing dengan kelajuan minimum 30Mbps. Fungsi Continuous Viewing ini juga akan diperkenalkan kepada Ulti Box tidak berapa lama lagi.

Pengguna boleh menukar ke tontonan melalui IP dengan menekan butang OK pada alat kawalan jauh sebaik sahaja mesej ralat dipaparkan. Proses penukaran ini akan mengambil masa tidak lebih dari 1 minit.

Menerusi mod Continuous Viewing, anda juga akan diberikan pilihan sama ada ingin memainkan rancangan dari mula, atau meneruskannya. Apabila sambungan internet telah kembali pulih, anda boleh bertukar semula ke mod siaran TV satelit.

Astro juga telah memulakan pengujian Ultra Plug & Play Box yang tidak memerlukan sebarang piring satelit dan boleh dipasang sendiri oleh pengguna. Apa yang diperlukan hanyalah sambungan internet pada kelajuan sekurang-kurangnya 30Mbps

Masalah yang dialami oleh MEASAT-3 masih lagi belum diselesaikan dan memerlukan lebih banyak masa bagi memulihkan ia sepenuhnya. Menurut SKMM, masalah ini berpunca dari perubahan kedudukannya yang dipercayai disebabkan oleh kerosakan penujah (thruster) pada satelit tersebut. MEASAT-3 kini sudah berusia 15 tahun dan akan ditukarkan dengan satelit MEASAT-3d yang akan dilancarkan pada tahun depan.

1 komen

Tinggalkan komentar