Pelanggan Astro dan NJOI masih lagi berdepan dengan masalah gangguan siaran untuk menikmati saluran yang disediakan sejak dari petang semalam.

Pihak Astro telah mengambil maklum berkenaan isu ini dan menasihatkan pelanggan-pelanggannya untuk menonton melalui aplikasi Astro Go. Menurut Astro, isu ini disebabkan oleh masalah yang dihadapi pada satelit pemancarnya dan sedang berusaha membaiki masalah ini secepat mungkin.

Beberapa saluran pada sesetengah pengguna sudah pun pulih. Namun, masa yang lebih diperlukan untuk membaiki masalah isyarat satelit dan seluruh saluran, menurut pihak Astro menerusi laman Twitter rasminya sekitar jam 9 pagi tadi.

Dalam pada masa yang sama, Astro juga memohon maaf dan meminta pelanggannya untuk mematikan dan menghidupkan semula set kotak Astro untuk memeriksa sama ada saluran-saluran telah kembali pulih atau tidak.

Bagi anda yang melanggan Astro, anda boleh menstrim kandungan yang anda langgan melalui aplikasi Astro Go pada peranti mudah alih, sama ada Android atau Apple. Anda juga boleh menonton menerusi pelayar web di astrogo.astro.my.

Astro merupakan perkhidmatan televisyen satelit berbayar oleh MEASAT Broadcast Network Systems Sdn Bhd. Syarikat ini juga mengendalikan rangkaian satelitnya termasuk MEASAT-3, MEASAT-3a, MEASAT-3b, MEASAT-5 (juga dikenali sebagai IPstar) dan AFRICASAT-1a.

Tinggalkan komentar