Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) baru-baru telah mengumumkan kemudahan pengeluaran secara dalam talian bagi dana unit amanah terpilih di bawahnya menerusi laman web myASNB.
Menurut ASNB, pemegang unit boleh membuat pengeluaran pelaburan masing-masing dari mana-mana akaun unit amanah ASNB kecuali ASN Sara 2 dan ASN Equity 5.
Amaun akan dipindahkan ke akaun bank yang telah didaftarkan oleh pemegang unit pada hari bekerja berikutnya.
Pengeluaran boleh dilakukan sepanjang tempoh waktu pejabat dari jam 7 pagi hingga 4 petang, Isnin hingga Ahad kecuali hari cuti kelepasan am.
“Pemegang unit dibenarkan membuat pengeluaran dengan jumlah minimum sebanyak RM100 bagi setiap transaksi. Bagaimanapun, kemudahan pengeluaran menerusi myASNB ini dihadkan kepada tiga kali transaksi setiap bulan dengan jumlah maksimum terkumpul sebanyak RM500 dari mana-mana akaun unit amanah ASNB pelabur,” kata syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd itu.
Kemudahan pengeluaran dalam talian ini juga akan ditawarkan menerusi aplikasi mudah alih myASNB bermula 27 April 2020.
Untuk maklumat lanjut, para pemegang unit boleh merujuk di halaman soalan-soalan lazim di www.asnb.com.my atau menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan ASNB di talian 03 – 7730 8899.













