Bank-bank pusat negara-negara Asia Tenggara mensasarkan untuk mengintegrasikan sistem pembayaran masing-masing menjelang akhir tahun ini bagi membolehkan transaksi yang lebih lancar bagi pelancong-pelancong di rantau ini.

Ini seterusnya dapat memudahkan pengguna membuat pembelian menggunakan aplikasi sedia ada dari negara masing-masing untuk membuat pembayaran secara kod QR tanpa perlu menggunakan aplikasi di negara yang dikunjungi.

Negara-negara yang terlibat merupakan negara yang mempunyai kuasa ekonomi terbesar di Asia Tenggara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina. Pengumuman integrasi ini diumumkan oleh Gabenor Bank Indonesia Perry Warijiyo dalam satu mesyuarat G20 di Bali baru-baru ini.

Integrasi ini dijangka dapat dimuktamadkan pada November ini dengan lima negara yang disebuatkan tadi akan menandatangani perjanjian untuk menghubungkan sistem pembayaran masing-masing. Buat masa ini Malaysia, Indonesia dan Thailand mampu bersambungan antara satu sama lain dan mempunyai kaedah pembayaran rentas sempadan menggunakan kod QR.

Selain itu, Malaysia dan Singapura juga telah menandatangani untuk menghubungkan pembayaran menggunakan DuitNow dan PayNow dan dirancang untuk dilancarkan pada suku keempat tahun ini. Touch ‘n Go juga kini mengaktifkan ciri pembayaran kod QR rentas sempadan di Singapura di dalam aplikasinya untuk perkhidmatan teksi ComfortDelGro.

Pembayaran kod QR yang dibuat menerusi sistem rentas sempadan ini akan menggunakan pertukaran mata wang tempatan antara kedua-dua negara tanpa menggunakan Dollar AS sebagai perantara. Ini bermakna, transaksi di Thailand menggunakan aplikasi Malaysia akan ditukar secara terus di antara Ringgit dan Baht.

Tinggalkan komentar