Kerajaan Amerika Syarikat (AS) dilaporkan sedang mempertimbangkan larangan menyeluruh terhadap penjualan penghala (router) jenama TP-Link di negara itu. Langkah ini dibuat berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap isu keselamatan negara yang dikaitkan dengan jenama peralatan rangkaian dari China tersebut.​

Menurut laporan The Washington Post, beberapa agensi persekutuan AS memberi sokongan terhadap cadangan tersebut. Antaranya Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Jabatan Keadilan, dan Jabatan Pertahanan menyokong cadangan Jabatan Perdagangan untuk menyekat produk TP-Link daripada pasaran AS.

Laporan itu mendedahkan bahawa satu kajian antara agensi telah dijalankan selama berbulan-bulan sepanjang musim panas lalu. Ia susulan siasatan terhadap syarikat itu yang bermula sejak tahun lepas.​

Pihak berkuasa AS menyuarakan kebimbangan TP-Link masih boleh terikat dengan undang-undang China yang mewajibkan syarikat bekerjasama dengan agensi perisikan negara itu. Ini meskipun syarikat tersebut telah melakukan penstrukturan semula pada tahun 2022 untuk beroperasi secara bebas daripada syarikat induknya di China. AS bimbang jika China boleh memaksa TP-Link untuk mengedarkan kemas kini perisian hasad atau berkongsi data sensitif pengguna.​

TP-Link telah menafikan semua tuduhan tersebut. Seorang jurucakap syarikat menegaskan bahawa operasi mereka di AS tidak dipengaruhi oleh pihak berkuasa China.

“Sebarang tindakan buruk terhadap TP-Link tidak akan memberi kesan kepada China, tetapi akan memudaratkan sebuah syarikat Amerika,” menurut jurucakap. TP-Link Systems di AS juga dinyatakan “tidak tertakluk kepada arahan daripada pentadbiran PRC (Republik Rakyat China).”.​

Walaupun rundingan perdagangan antara Washington dan Beijing sedang berjalan, cadangan sekatan ini dilaporkan masih dipertimbangkan. Sumber memberitahu The Washington Post bahawa isu ini berpotensi menjadi alat tawar-menawar bagi pentadbiran Trump dalam rundingan akan datang dengan China.

Tinggalkan komentar