Kerajaan Amerika Syarikat sedang mempertimbangkan untuk mengharamkan aplikasi-aplikasi media sosial dari China termasuk platform yang popular seperti TikTok. Pengumuman ini dibuat oleh Setiausaha Dalam Negeri, Encik Mike Pompeo dalam satu wawancara terbaru dengan Fox News.

Kenyataan beliau senada dengan sebahagian besar pemimpin dan pengguna di A.S. yang menyatakan kebimbangan terhadap soal privasi pengguna pada aplikasi buatan China. Tambahan pula, syarikat induk aplikasi-aplikasi berkenaan kebanyakannya mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan Parti Komunis China.

Bagaimanapun, TikTok dan ByteDance berpendapat tuduhan ini lebih kepada cubaan untuk memburuk-burukkan pihaknya dan menyatakan tidak pernah bekerjasama dengan pihak kerajaan China. Lagipun, aplikasi berkenaan juga tidak terdapat untuk dimuat turun oleh pengguna-pengguna di China.

TikTok turut menambah seluruh data yang dikumpulkan dari penggunanya di A.S. disimpan di pelayannya di A.S. Manakala pelayan sandaran (backup) untuk sistemnya ditempatkan di Singapura. Menurut TikTok lagi, kerajaan China tidak boleh mendapatkan akses ke data berkenaan kerana undang-undang negara China tidak boleh dikuatkuasakan di luar sempadannya.

Amerika Syarikat bukanlah negara pertama yang mempertimbangkan untuk mengharamkan TikTok dan aplikasi media sosial China yang lain. Sebelum ini Kementerian Elektronik dan Teknologi Maklumat India telah mengharamkan TikTok bersama-sama 59 aplikasi lain dari China. Tindakan ini memberikan kesan besar terhadap TikTok kerana India telah menyumbang kepada 30% dari jumlah keseluruhan 2 bilion muat turun aplikasinya.

Tinggalkan komentar