Ruang internet menjadi kecoh hujung minggu apabila Google dilaporkan berhenti berurusan dengan Huawei selepas arahan dari pentadbiran Trump dikuatkuasakan. Sehari selepas kekecohan ini, Jabatan Perdagangan AS telah mengeluarkan lesen sementara untuk Huawei menguruskan peranti-perantinya yang sedia ada, lapor Reuters.

Lesen terhad untuk Huawei ini hanya sah diperakukan sehingga 19 Ogos 2019 sahaja. Permit ini juga membolehkan Huawei berurusan dengan syarikat-syarikat di A.S. untuk menyediakan sokongan khidmat pelanggan sedia adanya. Syarikat yang berpangkalan di Shenzhen ini juga akan dibenarkan untuk mengekalkan hubungan perniagaan dengan Google, Intel, Qualcomm, dan lain-lain bagi menerbitkan kemas kini perisian untuk perkakasan sedia ada.

Pemberian lesen bertempoh 90 hari ini juga merupakan berita baik untuk sebahagian rangkaian serantau kecil yang bergantung kepada infrastruktur Huawei. Dua wilayah A.S. yang telah terjejas akibat sekatan ini adalah kawasan pedalaman seperti Wyoming dan Oregon.

Hubungan di antara Huawei dan kerajaan A.S. bagaimanapun tidak bermakna kembali pulih melalui pemberian lesen semenatara ini. Pemberian lesen ini juga hanya sekadar membenarkan syarikat China berkenaan menyelenggara peranti-peranti yang sudah ada di pasaran.

Secara tidak langsung, Huawei hanya dibenarkan menedia pembaikan keselamatan untuk perkakasannya sahaja. Namun, tidak dibenarkan untuk menghasilkan perkakasan baru yang menggunakan teknologi yang dijual atau dilesenkan oleh syarikat-syarikat A.S. seperti Android.

Jika hubungan dua-hala di antara Huawei dan A.S. tidak dipulihkan, sekatan Entity List akan dikuatkuasakan kembali sepenuhnya. Untuk tempoh tiga bulan ini, kemungkinan Huawei boleh menggunakannya untuk membina sistem operasi tersuai sendiri dan melancarkan firmware terbaru ke peranti-peranti sedia adanya. Mudah-mudahan, segala apa yang berlaku ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik.

Sumber berita diperoleh dari Reuters, Imej cover dari SCMP

Tinggalkan komentar