Pentadbiran Presiden Trump baru-baru ini telah mengumumkan perancangannya untuk memberikan kelonggaran kepada syarikat-syarikat A.S yang menjalankan urusan perdagangan dengan Huawei.

Kelonggaran ini bagaimanapun masih lagi mengekalkan Huawei di dalam Senarai Entiti yang mengakibatkan firma-firma dari A.S tidak dibenarkan berurus niaga dengah Huawei sejak dari Mei tahun ini.

Akhbar New York Times melaporkan Setiausaha Jabatan Perdagangan A.S. Encik Wilbur Ross memaklumkan pihak jabatannya hanya akan mengeluarkan lesen berkenaan untuk tujuan-tujuan yang tidak memberikan ancaman terhadap keselamatan negara.

Manakala Encik Larry Kudlow dari Majlis Ekonomi Kebangsaan Rumah Putih pula menyatakan pihak kerajaan A.S. mengehadkan pembelian peralatan dari Huawei dan hanya membenarkan perolehan yang tidak membahayakan keselamatan nasional. Bagaimanapun, laporan yang dipetik dari Reuters ini memaklumkan pengecualian ini hanya untuk tempoh sementara waktu sahaja sehingga dimaklumkan kelak.

Perkembangan ini merupakan lanjutan dari pertemuan dua hala di antara Presiden Donald Trump dengan Presiden China, Xi Jinping bulan lalu berkenaan penetapan tarif antara kedua-dua negara. Perbincangan mengenai hubungan perdagangan antara kedua-dua pihak masih lagi berjalan untuk mencapai persetujuan bersama.

Huawei buat masa ini dilihat lebih mengutamakan soal perniagaannya sendiri berbanding soal keselamatan negara yang berurus niaga dengannya termasuk A.S. Di pihak syarikat-syarikat di A.S. juga sedang berusaha melobi kerajaan A.S. supaya memberi kelonggaran dalam urusan dengan Huawei terutamanya di dalam perkara yang tidak melibatkan isu keselamatan nasional.

Sumber berita diperoleh dari New York Times dan Reutrers.

Tinggalkan komentar