Hampir sebulan selepas ia diperkenalkan, Apple Watch Ultra kini boleh dipesan di Malaysia. Jam tangan pintar ini merupakan jenis yang paling lasak di kalangan siri Apple Watch setakat ini.
Apple Watch Ultra menampilkan badan 49mm yang diperbuat dari aluminium bergred aero-angkasa. Jam tangan pintar ini juga dilengkapkan dengan kristal nilam rata bagi melindungi paparan Retina yang mempunyai tahap kecerahan dua kali ganda Apple Watch Series 8.
Selain dari mempunyai bentuk fizikal yang lebih besar, Apple Watch Ultra juga menawarkan keunikan tersendiri melalui butang sisinya. Bersama-sama Digital Crown yang lebih besar, ciri ini memudahkan pengguna yang memakai jam tangan pintar bersama-sama sarung tangan.
Apple juga menyediakan butang Action baharu pada sebelah bawah kirinya. Butang ini boleh disesuaikan untuk fungsi-fungsi tertentu seperti mula mengesan senaman dengan segera, mengesan perubahan gerakan senaman melalui Multisport, menandakan Compass Waypoints serta banyak lagi.
Jam tangan pintar dengan penarafan IP6X dan MIL-STD 810H turut direka mampu bertahan di dalam air sehingga berkedalaman 100m. Ia juga boleh digunakan untuk aktiviti menyelam rekreasi pada kedalaman 40m dan turut menyediakan aplikasi khusus untuk menyelam yang dinamakan sebagai Depth.
Untuk penyelam yang memerlukan data yang lebih mendalam, anda boleh menggunakan aplikasi Oceanic+ yang dibangunkan secara bersama dengan Huish Outdoor. Apple Watch Ultra juga direka dengan ketahanan untuk digunakan dalam keadaan bersuhu -20°C to 55°C.
Sama dengan Apple Watch Series 8 dan SE generasi kedua, serta kesemua model iPhone 14, Apple Watch Ultra turut disertakan dengan ciri Crash Detection baharu.
Baterinya, menurut Apple model baharu ini mampu bertahan sehingga 36 jam bagi penggunaan normal. Ia boleh dilanjutkan sehingga ke 60 jam menerusi mod kuasa rendah yang akan diperkenalkan pada sekitar hujung tahun ini.
Harga Apple Watch Ultra Malaysia
Anda boleh mendapatkan Apple Watch Ultra di kedai dalam talian Apple Malaysia dan Apple Authorised Resellers pada harga RM3,799. Terdapat tiga pilihan yang ditawarkan melalui Alpine Loop, Trail Loop, dan Ocean Band.













