Apple secara rasminya telah melancarkan jam tangan pintarnya yang popular, Apple Watch Series 8 menerusi acara Far Out yang dipancarkan secara streaming. Model pada tahun ini menampilkan hayat bateri yang lebih panjang, sensor suhu baharu dan penambahan ciri keselamtan baharu yang mampu mengesan pelanggaran.
Sungguhpun tidak dijelaskan dengan terperinci ketika pelancarannya, Apple Watch Series 8 menampilkan paparan bucu-ke-bucu yang lebih besar berbanding model sebelumnya dan ditawarkan dalam dua saiz, 41mm dan 45mm.
Ia juga hadir dengan crown berputar yang ditempatkan pada sisi kanan skrinnya dan kerangka pilihan sama ada aluminium atau keluli tahan karat bersama-sama pelbagai pilihan warna dan tali jam.
Apple turut memperkenalkan beberapa muka jam baharu untuk Series 8 baharu ini menerusi WatchOS 9 yang akan diperkenalkan kelak. Sebagai bonus, Apple turut mendedahkan kesemua muka jam Nike akan disediakan pada semua model Apple Watch yang menyokong sistem operasi baharu ini, secara spesifiknya Series 4 dan ke atas.
Apple Watch Series 8 Crash Detection
Selain ciri keselamatan yang dapat mengesan apabila pengguna terjatuh (Fall Detection), Apple Watch baharu ini turut memperkenalkan Crash Detection untuk mengesan perlanggaran. Fungsi berkenaan memanfaatkan sensor accelerometer, gyroscope dan barometer baharu yang telah dipertingkatkan pada jam tangan pintar tersebut. GPS dan juga mikrofon padanya juga digunakan untuk mengenalpasti sama ada pengguna terlibat dalam kemalangan kereta dan kemalangan lain.
Sama seperti fungsi Fall Detection, Apple Watch Series 8 juga boleh memeriksa pengguna dan mendail perkhidmatan kecemasan jika didapati pengguna tidak memberikan respon selepas 10 saat. Pihak yang menerima laporan kecemasan tersebut akan turut menerima lokasi pengguna dan turut dikongsikan secara automatik dengan nombor kenalan yang boleh dihubungi ketika kecemasan.
Bateri Apple Watch Series 8 dikatakan mampu bertahan selama 18 jam dengan kesemua ciri pasif dihidupkan. Penggunaannya mampu dipertingkatkan sehingga 36 jam dengan pengenalan Low Power Mod yang akan disertakan ke dalam WatchOS 9.
Ketika mod ini diaktifkan, ciri paparan sentiasa-terpasang (always-on display, AOD) dan penjejakan kecergasan akan dimatikan. Hanya ciri penjejakan aktiviti dan pengesan pelanggaran sahaja diaktifkan di dalam mod ini. Selain itu, Apple Watch Series 8 juga didatangkan dengan ciri pengecasan pantas yang tidak dijelaskan dengan lebih lanjut ketika acara pelancaran tersebut.
Buat masa ini Apple Watch Series 8 akan diperkenalkan di pasaran Amerika Syarikat bermula 16 September ini dan tarikh kemasukannnya ke pasaran Malaysia akan diumumkan dalam masa yang terdekat ini. Apple Watch Series 8 dijual pada harga RM1,899 untuk 41mm aluminium dengan GPS sahaja dan sehingga RM3,699 untuk edisi keluli tahan karat 45mm.
Untuk model kerangka aluminium ditawarkan dengan pilihan GPS sahaja atau GPS + Selular, manakala untuk model kerangka keluli tahan karat pula hanya ditawarkan dengan pilihan GPS + Selular.



















