Apple telah mengumumkan kehadiran versi terkini bagi model iPad Pro 12.9-inci dan iPad Pro 11-inci yang menggunakan pemprosesan Apple M2. Model baharu ini juga menyokong ciri ‘hover’ apabila menggunakan Apple Pencil selain menyediakan peningkatan pada ketersambungan dan juga ciri kamera yang babaru.
Perubahan terbesar pastinya pada penggunaan cipset M2 baharu. Cipset jenis yang sama ini juga turut digunakan pada MacBook Air 2022 dan MacBook Pro 13-inci. Ia menampilkan 8-teras CPU dengan 4 teras prestasi dan 4 teras berkecekapan tinggi bersama-sama GPU 10 teras.
Turut didatangkan bersama-sama pemprosesan ini sebuah Neural Engine 16-teras untuk teknologi pembelajaran mesin dan tugasan kecerdasan buatan (AI). Apple turut mendakwa pemprosesan ini memiliki lebar jalur memori sebanyak 100MBps.
Pemprosesan berkenaan juga dikatakan mempunyai prestasi grafik 35% lebih pantas, pembelajaran mesin 40% lebih baik, dan lebar jalur memori 50% lebih besar berbanding pemprosesan M1 yang digunakan pada iPad Pro generasi sebelumnya.
Melalui Skrin sesentuhnya dan iPadOS 16 yang telah dikemaskini, model-model iPad Pro baharu ini juga menyokong fungsi ‘hover’ apabila digunakan bersama-sama Apple Pencil generasi ke-2. Ciri ‘hover’ dengan menggunakan Pencil ini kini mampu dikesan sehingga 12mm dari atas skrin dan boleh digunakan bersama-sama fungsi tambahan bagi sesebuah aplikasi. Kefungsian ini juga akan disediakan secara terus di dalam iPad Pro dan juga melalui aplikasi pihak ketiga.
iPad Pro M2 juga menampilkan ketersambungan nirwayar yang ditambah baik melalui Wi-Fi 6E yang menawarkan kelajuan muat turun sehingga 2.4Gbps bersamaan 2 kali ganda dari model terdahulu. Turut disediakan sokongan Bluetooth 5.3 yang diperbaharui dan 5G untuk model LTE. Cuma, buat masa ini sokongan rangkaian 5G untuk semua peranti-peranti Apple masih lagi belum disediakan di Malaysia.
https://www.youtube.com/watch?v=yUKRkPKg5_U
Akhir sekali, M2 baharu ini menawarkan penambahbaikan pada ciri kameranya sungguhpun perkakasan kamera yang digunakannya masih lagi sama. Pengekod ProRes baharu membolehkan model-model iPad Pro baharu ini merekodkan video secara terus di dalam codec berkualiti tinggi Apple ProRes. Ia dikatakan mampu melakukan transcode 3 kali lebih pantas. Untuk fotografinya juga memperlihatkan dengan penambahbaikan dari Smart HDR 3 kepada Smart HDR 4.
Harga iPad Pro M2 Malaysia
Apple juga telah mengesahkan iPad Pro M2 akan datang ke pasaran Malaysia tidak lama lagi sungguhpun tiada tarikh yang dinyatakan setakat ini. Untuk harganya, berikut adalah harga iPad Pro M2 bagi pasaran Malaysia:
Harga iPad Pro M2 12.9-inci
- iPad Pro M2 12.9-inci 128GB – RM5,399 (Wi-Fi) / RM6,149 (LTE)
- iPad Pro M2 12.9-inci 256GB – RM5,899 (Wi-Fi)/ RM6,649 (LTE)
- iPad Pro M2 12.9-inci 512GB – RM6,899 (Wi-Fi) / RM7,649 (LTE)
- iPad Pro M2 12.9-inci 1TB – RM8,899 (Wi-Fi) / RM9,649 (LTE)
- iPad Pro M2 12.9-inci 2TB – RM10,899 (Wi-Fi) / RM11,649 (LTE)
Harga iPad Pro M2 11-inci
- iPad Pro M2 11-inci 128GB – RM3,899 (Wi-Fi) / RM4,649 (LTE)
- iPad Pro M2 11-inci 256GB – RM4,399 (Wi-Fi) / RM5,149 (LTE)
- iPad Pro M2 11-inci 512GB – RM5,399 (Wi-Fi) / RM6,149 (LTE)
- iPad Pro M2 11-inci 1TB – RM7,399 (Wi-Fi) / RM8,149 (LTE)
- iPad Pro M2 11-inci 2TB – RM9,399 (Wi-Fi) / RM10,149 (LTE)













