Selain dari pengumuman iPad mini 6, Apple turut mengumumkan iPad generasi ke-9 menerusi acara Apple Event awal pagi tadi. Model iPad baharu ini hadir dengan beberapa penambahbaikan dari mode generasi terdahulu.
Sama seperti iPad mini 6, iPad 9 ini juga mempunyai fungsi Center Stage melalui kamera hadapan 12MP yang ditempatkan padanya. Ia membantu pengguna memfokuskan pada individu yang sedang berbicara di dalam ruangan maya secara pintar.
Di dalamnya iPad 9 didatangkan dengan cip Apple A13 Bionic. Menurut Apple, cip ini mempunyai prestasi 20% lebih baik jika dibandingkan dengan A12 Bionic. Untuk sistem operasinya, tablet ini menggunakan iPadOS 15.
Rekaan luaran iPad generasi ke-9 ini masih lagi mengekalkan rupa tradisionalnya terutamanya pada bingkai atas dan bawah yang tebal disamping kedudukan butang Touch ID. Ini menjadikan tablet ini satu-satunya iPad yang tidak mengikuti rekaan iPad Pro.
Ini seterusnya menjadikan sokongan untuk Apple Pencil bagi iPad 9 hanya terhad untuk Apple Pencil Generasi Pertama sahaja.
Terdapat dua pilihan storan untuknya iaitu 64GB dan 256GB merangkumi pilihan Wi-Fi sahaja dan juga Wi-Fi dan LTE. Bagi varian Wi-Fi sahaja, harga yang ditawarkan bermula dari US$329 (~RM1369). Manakala bagi varian LTE, ia ditawarkan dengan harga dari US$459 (~RM1910).