Apple dikatakan akan memperkenalkan iPhone berkeupayaan 5G pertamanya pada tahun ini. Buat masa ini, beberapa penyedia rangkaian mudah alih telah mula melaksanakan rangkaian berkesambungan lebar-jalur tinggi ini.
Samsung pada ketika ini sudah pun memaklumkan siri Galaxy S20 terbarunya menyokong rangkaian 5G. Bagaimanapun, hanya Galaxy S20 Ultra sahaja yang menyokong kedua-dua sambungan 5G, sub-6 dan mmWave.
Fast Company melaporkan, Apple pada ketika ini masih lagi belum memuktamadkan rekaan versi 5G untuk model-model iPhone yang bakal dikeluarkan pada tahun ini.
Hal ini dikatakan berpunca dari kumpulan pereka di Apple yang inginkan rekaan iPhone yang lebih rata dan nipis melalui antena 5G yang dihasilkan oleh Apple sendiri.
Tambah laporan dari Fast Company itu lagi, antena 5G Qualcomm QTM525 ‘terlalu besar’ untuk dimuatkan ke dalam rekaan iPhone 5G keluaran tahun 2020 itu nanti sungguhpun antena tersebut berteknologi mmWave.
Pemilihan jenis antena ini dikatakan menjadi antara punca mengapa Apple masih belum lagi memuktamadkan rekaan akhir model iPhone keluaran tahun ini.
Teknologi nirwayar ultra-laju 5G mempunyai masalah jarak capaian. Justeru, telefon pintar 5G biasanya memerlukan sebilangan antena-antena mmWave bagi memastikan kestabilan sambungannya.
Pembangunan sistem antena 5G sendiri oleh Apple dilihat sebagai satu keperluan memandangkan Apple kini sedang ke arah mengurangkan kebergantungannya dengan Qualcomm. Pengambilalihan bahagian pembangunan modem Intel juga merupakan salah satu langkah Apple ke arah penghasilan komponen rangkaian sendiri.
Apple juga dikatakan bakal menggunakan komponen rangkaian 5G yang dibangunkan sendiri pada iPhone, iPad dan peranti-peranti lain keluarannya yang akan datang.
Sumber berita diperoleh dari Fast Company