Pemilik kenderaan Perodua Alza yang turut menggunakan peranti Apple kini boleh menggunakan perkhidmatan Apple CarPlay pada kenderaan serba-guna (multi-purpose vehicle, MPV) tersebut. Kemaskini perisian boleh didapati menerusi pemeriksaan atau penyelenggaraan di pusat servis Perodua berhampiran anda.
Fungsi inforia melalui Apple CarPlay dan Android Auto ini hanya eksklusif pada model Perodua Alza AV sahaja. Model-model Alza lain yang menggunakan sistem lama seperti yang digunakan pada Perodua Ativa tidak menyokong ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Sambungan Apple CarPlay dibuat secara berwayar, sama dengan sambungan Android Auto. Sebelum ini fungsi Apple CarPlay pada sistem inforia berskrin sentuh 9-inci Perodua Alza ini tidak diaktifkan (disabled) kerana sedang menunggu persijilan MFi (Made For iPhone).
Selain dari sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, Perodua Alza turut menyediakan fungsi brek parkir elektronik (EPB), monitor pandangan keliling 360° dan brek cakera tayar belakang.