Apple telah melancarkan ciri baharu untuk pembangun aplikasi yang membolehkan kenaikan baharu harga langganan dimasukkan secara automatik ketika pembaharuan. Ciri ini telah pun dijalankan pengujiannya sejak dari Mac lalu dan kini mula ditawarkan kepada semua pembangun dengan beberapa syarat.

Buat masa ini, apabila sesebuah pembangun aplikasi ingin menaikkan harga langganan untuk langganan sedia ada, pelanggan perlu bersetuju dengan kenaikan secara manual atau langganan mereka akan ditamatkan secara automatik. Melalui perubahan ini, pelanggan akan diberitahu perubahan harga terkini sebelum tempoh pengebilan berikutnya dan harga baharu akan dikenakan secara automatik.

Apple juga akan memudahkan pengguna untuk membatalkan langganan pada aplikasi masing-masing jika tidak berpuas hati dengan kenaikan tersebut. Ciri baharu ini mula diketemukan apabila perkhidmatan Disney Plus menaikkan bayaran langganannya pada Mac lalu dan sesetengah pengguna menyedarinya apabila hanya menerima emel pemakluman sahaja tanpa meminta persetujuan tentang kenaikan harga tersebut.

Bagi mengelakkan penyalahgunaan, Apple turut meletakkan beberapa syarat untuk ciri baharu ini. Misalnya, kenaikan harga ini tidak boleh berlaku lebih dari sekali dalam tempoh setahun dan tidak melebihi 50% dari harga semasa.

Ia juga tidak boleh lebih dari US$5 (~RM22) untuk langganan secara bukan-tahunan atau tidak boleh lebih dari US$50 (~RM220) untuk langganan tahunan. Jika harga langganan melebihi dari syarat yang telah ditetapkan, kebenaran pengguna diperlukan sebelum tempoh pengebilan berikutnya atau akan ditamatkan secara automatik jika tiada tindakan diambil.

Sebarang perubahan harga akan dimaklumkan kepada pengguna lebih awal melalui emel, notifkasi jika pengguna menghidupkan pada tetapan dan mesej di dalam aplikasi. Apple menyatakan pelaksanaan kaedah baharu ini bertujuan untuk memastikan peningkatan harga langganan tidak menjejaskan perkhidmatan.

Untuk pengguna yang dicajkan dengan harga yang tinggi tanpa dimaklumkan mengenainya lebih awal dan ingin langganan dibatalkan secara retroaktif, pengguna boleh meminta gantian semula bayaran secara terus dari Apple.

Tinggalkan komentar