Setelah sekian laman di dalam peringkat pembangunan, Apple akhirnya telah mengumumkan fon kepala nirwayar terbarunya, AirPods Max.

Hadir dalam bentuk atas telinga, fon kepala AirPods Max disambungkan kedua-dua belahnya dengan cekak keluli tahan karat dan dibalut dengan material berpermukaan lembut.

Selain itu, Apple turut menyatakan penutup telinga untuk fon kepala tersebut diperbuat dari aluminium bersadur.

AirPods Max turut dilengkapkan dengan sepasang pemacu dinamik rekaan khusus 40mm yang dipadankan dengan setiap satunya motor bergelung magent dwi-neodymium.

Sama seperti AirPods Pro, cip Apple H1 turut dimuatkan bagi menyediakan fungsi-fungsi pentingnya seperti EQ Adaptif yang mengukur dan melaraskan kualiti bunyi untuk disampaikan kepada pengguna dalam masa nyata.

Tidak ketinggalan, fon kepala ini juga menyediakan fungsi Pembatalan Hingar Aktif yang memberikan pengalaman mendengar yang lebih baik tanpa gangguan bunyi dari luar. Terdapat juga mod Transparency dan sokongan untuk audio spatial dengan penjejakan kepala dinamik.

Menariknya, AirPods Max turut dilengkapkan dengan satu Digital Crown sama seperti yang ada pada Apple Watch. Pada fon kepala berkenaan, ia boleh digunakan untuk kawalan bunyi berserta fungsi main semula muzik, panggilan telefon dan mengaktifkan Siri. Sama seperti AirPods, fungsi main semula audio akan dimainkan terus sebaik sahaja anda memakainya.

Dari segi baterinya, Apple memaklumkan AirPods Max boleh menyediakan waktu mendengar sehingga 20 jam melalui ANC atau Transparency Mode. Waktu pengecasannya juga akan pantas kerana 5 minit waktu mengecasnya mampu membawa tempoh penggunaannya sehingga 1.5 jam. Turut disertakan aksesori Smart Case yang membantu pengguna menjimatkan cas bateri fon kepala ini apabila tidak digunakan.

Boleh didapati dalam Space Grey, Silver, Green, Sky Blue, dan Pink, AirPods Max akan mula dipasarkan pada 15 Disember ini. Setakat ini masih lagi belum diketahui tarikh fon kepala berharga RM2,399 ini mula dipasarkan di Malaysia.

 

Tinggalkan komentar