Aplikasi pengurusan fail untuk Android, ES File Manager telah ditarik keluar dari Play Store setelah didapati mengandungi perisian hasad untuk melakukan penipuan klik.

Awal minggu ini, BuzzFeed News telah melaporkan bagaimana aplikasi-aplikasi Play Store keluaran DO Global melakukan penipuan klik. Lanjutan dari itu, Google telah mengambil tindakan dengan menarik keluar aplikasi-aplikasi yang terlibat termasuk ES File Manager dan menyekat akaun pembangun aplikasi dari China berkenaan.

Sungguhpun aplikasi berkenaan menyatakan diterbitkan oleh ‘ES Global’ di dalam Play Store, hakikatnya ia dimiliki oleh ‘Du Global’. Berdasarkan maklumat yang diperoleh dari LinkedIn, Du merupakan salah satu cabang bahagian DO Global yang dikaitkan dengan skandal penipuan klik.

Selain dari menarik keluar aplikasi pengurusan fail Android berkenaan, Google juga turut mengambil tindakan menyekat akaun ES Global sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

Aplikasi ES File Manager telah terlibat dengan pelbagai kontroversi sebelum ini. Sebelum ini aplikasi berkenaan dilaporkan pernah hadir dengan aplikasi adware ‘Charging Boost’ yang amat diragui tujuan dan fungsinya. Ia juga turut memperkenalkan versi Pro setelah versi percumannya dipenuhi dengan pelbagai jenis aplikasi sampah (bloatware).

Bagi pengguna yang ingin mencari aplikasi pengurusan fail alternatif yang lebih selamat, mungkin boleh mencuba aplikasi Files oleh Google dan juga Solid Explorer.

Tinggalkan komentar