Menerusi acara “What’s next for Windows” baru-baru ini, Microsoft mendedahkan sistem operasi baharu Windows 11, lengkap dengan maklumat berkenaan rupa bentuk dan ciri-ciri baharunya.
Apa yang menjadi kekurangan pada sistem operasi Windows selama ini adalah kekurangan aplikasi yang bersesuaian di dalam gedung aplikasi Microsoft Store. Hal ini telah menjadi antara penyebab mengapa Windows pada ARM sukar menerima sambutan yang menggalakkan dari pengguna.
Kini, di dalam Windows 11, Microsoft mengumumkan kehadiran aplikasi Android di dalam sistem operasi berkenaan dan ianya akan diintegrasikan secara natif.
Integrasi ini bermakna aplikasi-aplikasi ini kelak boleh muncul pada menu Start, boleh ditunjukkan melalui ikon masing-masing pada taskbar dan juga ikon pintasan pada desktop. Ianya nanti akan muncul di dalam Microsoft Store dan juga boleh dipasangkan melalui gedung aplikasi Amazon.
Panos Panay di dalam ucaptamanya menyebut Microsoft menggunakan “Intel bridge technology” bagi membolehkan integrasi ini berjalan dengan lebih lancar. Pun begitu, ini tidak bermakna penawaran ciri ini hanya terhad pada peranti Intel.
Microsoft mengesahkan aplikasi-aplikasi Android ini juga boleh digunakan pada peranti-peranti AMD. Melalui ketersediaan aplikasi Android ini, Windows 11 dilihat akan menjurus ke arah sistem operasi mudah alih dan mesra paparan sesentuh.
Windows 11 builds awal akan diterbitkan menerusi program Insider seawal minggu depan seperti kebiasaan sistem operasi dari Microsoft. Anda boleh mencuba versi tidak rasmi ini di atas risiko sendiri.
Jika anda ingin mencubanya juga, sebaiknya anda memasangnya di dalam mesin maya (virtual machine) seperti aplikasi VMWare, KVM, Hyper-V, Oracle VM dan sebagainya. Windows 11 dijadualkan akan dilancarkan kepada umum menjelang akhir tahun 2021.













