Bagi anda yang menggunakan komputer Windows, anda mungkin pernah membuka ‘task manager’ dan mendapati terdapat banyak proses-proses yang dikenali sebagai “svchost”. Mungkin sesetengah orang berasa bimbang dengan proses ini kerana ia muncul dalam jumlah yang banyak serta dijalankan di belakang tabir tanpa pengetahuan pengguna.

Apakah proses svchost.exe ini sebenarnya dan adakah kita perlu menghapuskannya?

Jawapan pendek dan ringkas, tentu sahaja: TIDAK BOLEH.

Anda tidak boleh memaksa sebarang proses svchost ini berhenti secara mengejut kerana proses ini amat penting untuk membolehkan Windows beroperasi. Untuk memahami kenapa ianya amat penting, kita perlu melihat dengan lebih dekat apakah yang dilakukan olehnya.

Apa itu svchost.exe?

Secara ringkasnya, svchost merupakan singkatan kepada “service host” dan ia berperanan sebagai hos kepada perkhidmatan-perkhidmatan Windows. Apabila Windows ingin menjalankan sesebuah perkhidmatan (service), ia menggunakan svchost untuk melakukannya.

Apabila anda melihat banyak svchost.exe dijalankan secara serentak dalam satu-satu masa, ia bermaksud Windows sedang menjalankan pelbagai perkhidmatan dalam masa serentak. Terdapat banyak tugasan-tugasan yang dijalankan di sebalik tabir Windows dan kesemua proses-proses ini diperlukan untuk ia beroperasi dengan lancar.

Kenapa tidak gunakan satu proses sahaja?

Proses-proses yang terlalu banyak mungkin kelihatan agak serabut kan? Tapi, kenapa Windows tidak menggabungkan seluruh proses berkenaan dan diletakkan sebagai satu proses sahaja?

Ada sebabnya mengapa Windows tidak berbuat demikian. Puncanya adalah bagi mengelakkan seluruh sistem tidak dapat dijalankan hanya disebabkan oleh satu atau lebih sistem tergendala.

Imej dari Getty

Ibaratnya, seperti sebuah organisasi yang diasing-asingkan bahagiannya mengikut spesifikasi tugasan masing-masing. Jika sesebuah bahagian tersebut tergendala, operasi bahagian-bahagian lain di dalamnya masih lagi boleh berjalan seperti biasa dan boleh menunggu sementara masalah tergendala tersebut diatasi.

Proses apa yang sedang dijalankan?

Bagi anda yang ingin tahu apakah proses-proses yang sedang dijalankan oleh komputer anda, anda boleh menekan ketiga-tiga kekunci berikut secara serentak: Ctrl + Shift + ESC

Pastikan anda menekan butang “more detail” untuk melihat dengan lebih lanjut. Proses-proses svchost diletakkan di bawah “Windows processes”

Bila svchost bermasalah

Bagaimanapun, ada masanya svchost yang kita lihat bukanlah svchost yang sebenar. Sesetengah virus menyerupainya bagi mengelirukan pengguna. Selain itu, pengguna juga berdepan dengan kesukaran menjejakinya kerana terdapat kemungkinan yang pengguna mungkin tersilap langkah untuk membuangnya.

Cara terbaik untuk mengatasi masalah virus yang menyerupai svchost ini adalah memasang perisian antimalware seperti Malwarebytes.

Secara kesimpulannya, proses ini bukanlah sebuah proses yang merbahaya untuk komputer anda dan ia sebenarnya proses yang amat penting untuk Windows dioperasikan.

Tinggalkan komentar