Menurut laporan dari portal XDA, Google akan melakukan penambahbaikan pada kawalan gerak isyarat (gesture control) untuk digunakan pada sistem operasi Android Q. Salah satu penambahbaikan yang bakal dilaksanakan termasuklah pemasangan butang kapasitif tunggal.
XDA turut memperincikan telah menemukan Android Q pra-terbitan yang menunjukkan ianya hanya dilengkapi dengan butang “home” sahaja. Bagi membolehkan anda menggunakan fungsi “back” pada mana-mana aplikasi, anda hanya perlu melakukan gerak isyarat ke kiri pada butang “home” peranti.
Bagaimanapun, penemuan ini hanyalah berdasarkan pada binaan sistem operasi eksperimental sahaja. Google mungkin boleh sahaja nanti tidak menggunakan fungsi gerak isyarat tersebut dan terus kekal dengan butang “back” seperti biasa.
Setakat ini, pada pendapat saya perubahan ini masih terlalu jauh lagi memandangkan peranti-peranti yang menggunakan Android 9 Pie pun masih lagi kecil peratusannya berbanding yang menggunakan sistem-sistem operasi sebelumnya.
Sumber berita diperoleh dari XDA-Developers.













