Di dalam episod terbaru podcast All About Android, tetamu khas Hiroshi Lockheimer membincangkan tentang usaha pembangunan yang telah dan akan diusahakan pada Android dan Chrome OS. Antaranya adalah berkenaan tentang khabar angin yang mengatakan Google akan menggabungkan kedua-dua sistem operasi tersebut ke dalam satu sistem.
Apa yang difahamkan dari podcast berkenaan, adalah mustahil untuk menggabungkan kedua-dua sistem operasi berkenaan walaupun masing-masing di bawah Google. Untuk memahami sebab kenapa Android dan Chrome OS tidak digabungkan sekali, kita perlu tahu bagaimana dan tujuan sistem-sistem operasi ini diwujudkan.
Hiroshi Lockheimer telah ditanyakan tentang apakah perbezaan diantara sistem operasi Android dan Chrome OS. Dari jawapan yang diberikan beliau, beza utama diantara kedua-duanya adalah bagaimana ianya dimulakan dan bagaimana caranya beroperasi.
Untuk Android, ia bermula pada kegunaan telefon pintar dan kemudian dikembangkan pada tablet, jam tangan pintar, televisyen dan banyak lagi. Manakala Chrome OS pula, ianya dibina khusus untuk laptop dan sentiasa dikemaskini dari masa ke semasa.
Chrome OS hanya popular untuk kegunaan sektor pendidikan buat masa ini dan ianya masih jauh untuk menggugat kedudukan Microsoft Windows selaku sistem operasi pilihan ramai.
Tambah beliau lagi, langkah penggabungan kedua-dua produk yang berjaya ini bukanlah satu tindakan yang bijak. Hal ini kerana kedua-dua sistem operasi ini dapat memanfaatkan kelebihan dan kekurangan masing-masing dengan saling lengkap melengkapi.
Apa yang penting adalah meraikan sebarang perbezaan yang wujud tanpa perlu mengorbankan sebarang kebaikan yang telah dibawakan oleh kedua-dua sistem operasi ini.
Sumber berita diperoleh dari Greenbot













