Selain dari tahap peratusan penggunaan bateri, tahap kesihatan bateri juga penting untuk diambil tahu. Ini kerana ia dapat memberikan anda gambaran sejauh mana tahap prestasi semasa keseluruhan telefon pintar anda berbanding ketika ia mula dibeli.
Pada iPhone, Apple telah menyertakan ciri membuat semakan tahap kesihatan bateri peranti. Namun, untuk Android ia tidak disediakan dan pengguna perlu menggunakan aplikasi pihak ketiga untuk melihatnya.
Pun begitu, seorang pengguna Android di Twitter Mishaal Rahman telah berkongsikan tangkapan layar fungsi yang memaparkan tahap kesihatan bateri telefon pintar Android.
Here's a first look at the new "Battery Health" settings! pic.twitter.com/3uyyCxMTpR
— Mishaal Rahman (@MishaalRahman) September 8, 2022
Menurut beliau, tangkapan layar ini diambil dari Android 13 Beta QPR1 terkini yang akan dimasukkan ke dalam peranti Android melalui kemaskini yang akan datang. Berdasarkan gambar tersebut juga menunjukkan Google akan melaksanakan ciri kesihatan bateri baharu yang memberitahu pengguna keadaan semasa bateri telefon pintar berkenaan.
Sungguhpun ia tidak memaparkan tahap peratusan sebagaimana yang ditunjukkan pada iPhone, ia setidaknya menunjukkan kepada pengguna sama ada kesihatan bateri tersebut adalah baik atau tidak. Ini mampu membantu pengguna untuk mengenalpasti mengapa bateri telefon pintar cepat habis dan memudahkan pengguna untuk membuat keputusan sama ada perlu menukar telefon pintar atau menggantikan baterinya.













