Amazon pada hari ini telah mengumumkan pelancaran AWS Region di Malaysia. Ia merupakan infrastruktur serantaunya yang pertama di dalam negara. Ia mensasarkan memberikan sokongan pelanggan di pelbagai indsutri untuk menjalankan aplikasi-aplikasi dengan selamat pada AWS, menepati keperluan residensi data, mengurangkan kelewahan dan memenuhi permintaan awanan di seluruh Asia.

Menerusi hantaran blog yang diterbitkannya, Amazon menyatakan AWS Region di Malaysia merupakan yang ke-13 di Asia Pasifik, menyertai Region sedia ada di Hong Kong, Jakarta, Melbourne, Mumbai, Osaka, Seoul, Singapore, dan banyak lagi.

Pihak syarikat juga menjelaskan ia akan memainkan peranan penting dalam menyokong Kerangka Ekonomi Madani kerajaan Malaysia yang mensasarkan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat menjelang 2030 disamping menyokong inovasi di dalam negara dan seluruh ASEAN.

Dalam pada masa yang sama, Amazon juga mengumumkan pelaburan besar berjumlah US$6.2 billion (RM27 billion) di Malaysia sehingga 2038 sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjangnya.

AWS Region baharu ini diunjurkan menyumbang kira-kira US$12.1 billion (~RM53 billion) kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan akan membuka lebih dari 3,500 peluang pekerjaan sepanjang tahun sehingga 2038.

Usaha berpanjangan di Malaysia

Sejak pembukaan pejabatnya yang pertama di Malaysia pada 2016, Amazon menyatakan pihaknya terus melabur di dalam infrastruktur dan teknologi bagi menyokong transformasi digital negara. Pada 2017, pihak syarikat juga telah menubuhkan Amazon CloudFront Edge Location pertamanya di Malaysia dan memperluaskannya ke empat lokasi sehingga hari ini bagi meningkatkan prestasi dan ketersediaan kepada pengguna.

Selain itu, Amazon juga telah membuka dua lokasi Direct Connect bagi meningkatkan prestasi aplikasi dan mengurangkan kos rangkaian. Pada 2020, pihak syarikat juga memperkenalkan AWS Outpost di Malaysia yang membolehkan perniagaan membina infrastrukturnya di premis untuk aplikasi berlewah rendah (low-latency).

Amazon turut mendedahkan beberapa organisasi penting di Malaysia yang memanfaatkan kelebihan AWS untuk pelbagai fungsi.Antaranya  PayNet, Pos Malaysia, Deriv, Asia Pacific University, dan penyedia teknologi dron tempatan Aerodyne Group.

Pihak syarikat juga memperkenalkan beberapa program kemahiran awanan seperti Program AKAR, AWS Academy dan AWS Skills Guild dengan Petronas yang bertujuan membangunkan pakar awanan di dalam negara.

Dalam perkembangan yang berkaitan, baru-baru ini telah diketemukan pusat data Amazon pertama di Malaysia yang telah pun dimulakan pembinaannya di Cyberjaya. Tarikh selesai pembinaannya masih lagi belum diketahui, namun berdasarkan pemfailan dengan Bursa Malaysia Securities Bhd, fasiliti tersebut dijangka dapat disiapkan menjelang suku kedua 2027.

Tinggalkan komentar