Semakin banyak telefon pintar yang menampilkan ciri dwi-kamera pada fungsi fotografinya lewat kebelakangan ini. Terbaru, Alcatel turut memperkenalkan ciri dwi-kamera pada model telefon pintar terkininya, Alcatel Flash. Ia bukan sahaja memperkenalkan fungsi dwi-kamera pada belakangnya, malah turut dilengkapkan pada bahagian hadapannya.
Digelar sebagai “telefon pintar pertama di dunia yang dilengkapi dengan dwi-kamera hadapan dan belakang”, Alcatel Flash hadir dengan 13 MP dwi-kamera pada kamera belakangnya untuk memberikan “kualiti fotografi profesional”. Sebagai makluman, pada bahagian dwi-kamera berkenaan, satu bahagian kamera adalah untuk imej berwarna, manakala satu lagi adalah imej monokromatik (hitam dan putih).
Untuk kamera hadapan pula ia hadir dengan tetapan dwi-kamera (5 MP + 8 MP) yang membolehkan pengguna melaraskan tahap kekaburan, menukar titik kabur atau menukar tahap kekaburan yang lain dengan “Super Selfie Mode”.
Alcatel Flash turut menampilkan paparan 1080p 5.5-inci dengan ketumpatan piksel sebanyak 401ppi. Untuk pemprosesannya pula, ia dilengkapi dengan cipset 10-teras MediaTek Helio X20 berserta memori berkapasiti 3GB. Ia juga menyediakan ruang storan dalaman 32GB dan boleh diperbesarkan lagi dengan tambahan melalui slot kad mikro SD sehingga 128GB.
Telefon pintar yang menyokong penggunaan dwi-SIM nano ini turut berkeupayaan menggunakan sambungan selular 4G LTE. Disamping itu, ia juga mempunyai penderia cap jari pada bahagian belakangnya. Alcatel Flash menggunakan sistem operasi Android 6.0 Marshmallow dan mempunyai kapasiti bateri 3100mAh.
Layari laman web rasmi Alcatel untuk maklumat lanjut