AirAsia telah mengumumkan ahli-ahli program kesetiaannya, AirAsia BIG kini boleh menggunakan internet dalam penerbangan secara percuma yang disediakan oleh ROKKI pada penerbangan yang terpilih. Apa yang perlu dilakukan oleh pengguna hanyalah perlu melog masuk ke akaun keahlian BIG sebaik sahaja perkhidmatan berkenaan diaktifkan sewaktu penerbangan.
Perkhidmatan ini tidak sama dengan perkhidmatan hotspot wi-fi biasa yang ditawarkan di premis-premis perniagaan. Bagi anda yang tidak biasa dengan perkhidmatan wi-fi dalam penerbangan ROKKI, jumlah data yang ditawarkan adalah kecil dan ianya sekadar memadai untuk membuka e-mel dan perkhidmatan permesejan segera lain. Penggunaan seperti melayari laman web atau yang lebih memerlukan data adalah tidak begitu sesuai.
Ahli AirAsia BIG yang layak menerima perkhidmatan percuma ini turut menerima Chat Plan 2MB yang menyediakan akses ke WhatsApp, WeChat, LINE, KakaoTalk, dan Viber. Biasanya pelan berharga RM9 dan pengguna yang membayarnya akan menerima kuota data 3MB.
Sungguhpun anda mungkin tidak dapat memanfaatkan penggunaan internet secara sepenuhnya di dalam penerbangan anda, sekurang-kurangnya ahli AirAsia BIG masih boleh lagi mendapatkan hiburan di dalam penerbangan melalui ROKKI.
Layari laman rasmi AirAsia BIG untuk maklumat lanjut.













